Kobis panjang dari Vietnam seberat 18,000 kg ditahan MAQIS kerana mempunyai serangga perosak di Pelabuhan Klang. - Ihsan: MAQIS Selangor

PELABUHAN KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
(MAQIS) negeri Selangor berjaya menahan satu kontena yang mengandungi kubis panjang.

Kubis itu dikesan pihaknya mempunyai serangga perosak dan nilainya dianggarkan RM44,575.54, kata Pemangku Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim hari ini.

Katanya, pemeriksaan rutin oleh oenguasa MAQIS mendapati bekalan sayur berkenaan seberat 18,000 kilogram itu dipercayai dibawa dari Vietnam.

“Bekalan sayur itu kini ditahan bersama kontena itu untuk tindakan lanjut kerana didapati mempunyai serangga perosak jenis Plutella xylostella,” katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut hari ini.

Tambah Zamri, kes sedang disiasat oleh MAQIS mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 2011 [Akta 728].

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Adalah suatu kesalahan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit.

“Pihak MAQIS sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara bebas daripada ancaman perosak,” tegasnya. – MalaysiaGazette