LONDON – Jurgen Klopp tidak percaya skuad Liverpool memerlukan rombakan besar-besaran pada akhir musim ini.

Pengurus The Kops itu berkata, belum tiba masa atau keadaan terdesak untuk pasukan melakukan perubahan drastik membabitkan pemain ketika ini.

Empat kekalahan berturut-turut meninggalkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga Manchester City.

Seramai 12 pemain dalam pasukan Liverpool berusia 28 tahun dan ke atas termasuk sembilan pemain utamanya.

“Saya tidak fikir buat masa ini pasukan memerlukan pembangunan semula secara menyeluruh.

“Skuad saya tidak berpeluang beraksi bersama musim ini dan saya rasa adalah lebih wajar mengenalpasti masalah dan menanganinya segera.

“Namun saya tidak menolak kemungkinan akan ada sedikit perubahan dalam skuad,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu.

Liverpool hanya menang dua perlawanan daripada 11 aksi setakat ini.

Bagaimanapun dalam pentas Eropah, mereka berjaya menewaskan RB Leipzig 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Selasa lalu.

Kapten pasukan Jordan Henderson merupakan pemain terbaharu yang mengalami kecederaan dan tidak akan beraksi untuk 10 minggu akan datang selepas pembedahan paha.-MalaysiaGazette