Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) bersama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing bercakap pada sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac buatan syarikat biofarmaseutikal dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor. Foto Ihsan JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Bekalan pertama vaksin Sinovac yang baru tiba pagi tadi akan dinilai dan diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selaku pihak bertanggungjawab dalam kelulusan vaksin COVID-19 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, NPRA sangat teliti dalam menjamin soal kualiti dan keselamatan sehingga dikenali sebagai agensi yang tegas dan ketat berbanding badan regulatori antarabangsa yang lain.

Katanya, vaksin Sinovac dari China itu kini dikendalikan oleh Syarikat Pharmaniaga Sdn.Bhd dan terus dihantar ke kilang di Puchong.

“Yang diterima hari ini adalah secara pukal dan setelah dihantar ke kilang di Puchong, satu langkah kelulusan akan bermula untuk penelitian NPRA iaitu membabitkan dua kelulusan iaitu kelulusan untuk vaksin sendiri dan kedua proses perkilangan oleh Pharmaniaga.

“Ramai tanya kenapa barang sudah diterima tetapi tiada kelulusan untuk Sinovac, ini kerana kaedah pembotolan Sinovac akan dinilai diikuti proses pendaftaran, validasi, menganalisa serta kestabilan selain kualiti vaksin diteliti sepenuhnya.

“Kemudian pengesyoran akan dibuat kepada pihak berkuasa kawalan dadah yang akan meluluskannnya untuk pengilangan dan kegunaan rakyat,” katanya dalam sidang media secara maya selepas menerima vaksin di KLIA pagi tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri LUar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein antara orang kenamaan yang turut hadir menyaksikan ketibaan bekalan pertama Sinovac pagi tadi.

Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing turut hadir sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kerajaan China untuk menyerahkan bekalan dengan selamat tanpa masalah di Malaysia.

Tambah Khairy, vaksin pada hari ini diterima secara pukal dalam bentuk 200 liter dan bukannya siap dibotol dalam bebuli atau dalam bentuk dos.

Katanya,  Singapura juga menerima vaksin tersebut dalam kaedah yang sama sebelum badan kawalan negara itu meluluskannya.

Menurut beliau, bekalan Sinovac juga sangat terhad dan beliau dimaklumkan oleh Pharmaniaga selepas diluluskan kelak mereka boleh menjangkakan pengeluaran sehinga 2 juta dos di kilang Puchong yang menjamin bekalan vaksin Sinovac stabil dari syarikat tersebut.

Pharmaniaga, katanya, menggunakan data dan ujian klinikal keberkesanan Sinovac di China sebagai bukti sokongan ia berkualiti dan selamat digunakan untuk rakyat negara ini.

Kata Khairy, tahap keberkesanan vaksin tersebut adalah 50.4 peratus hingga 91.25 peratus yang dibuktikan pengambilan di Chile, Turki, Kemboja, Hong Kong dan Presiden Indonesia turut menerima suntikan vaksin tersebut.

Ditanya tempoh diperlukan oleh NPRA untuk meluluskan vaksin Sinovac, Khairy yang juga Pengerusi Imunisasi Vaksin Kebangsaan menyatakan bahawa pihaknya tidak boleh memaksa badan itu untuk meluluskan segera.

Menurut beliau, NPRA sebuah badan beban dan berkecuali yang sangat tegas yang tidak menerima tekanan politik selain tidak akan meluluskan vaksin yang tidak selamat kerana mengutamakan nyawa rakyat.

“NPRA tidak akan meluluskan dan membenarkan apa-apa produk perubatan farmasi masuk dalam negara kita selagi mereka tidak berpuas hati dengan dua perkara iaitu keberkesanan dan keselamatan, maka terimalah apa saja vaksin diluluskan NPRA kerana ia selamat dan berkesan

“Jika anda semua (wartawan) tanya saya bila kelulusan boleh dapat, jawapanya saya tenangkan hati rakyat sangat jelas iaitu saya tak tahu dan tak boleh tahu (bila lulus).

“Memang kita mahukan mereka luluskan vaksin (Sinovac), tapi jangan paksa NPRA untuk buat apa-apa keputusan secara terdesak,” katanya. – MalaysiaGazette