Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing di KLIA.

KLIA – “Saya akan mengambil vaksin yang akan diluluskan kemudian nanti oleh kerajaan”.

Demikian jawapan Khairy Jamaluddin ketika ditanya bila beliau akan menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas bebeberapa pemimpin dan menteri-menteri Kabinet menjalani proses tersebut.

Menurutnya, beliau sedang memerhati dan meneliti pandangan serta pendapat rakyat sejak beberapa hari lalu yang menganggap bahawa golongan kenamaan dan petugas barisan hadapan hanya mengambil ‘barang baik’ menerusi suntikan Pfizer sambil mengakui tanggap itu bergelar dalam diri rakyat sejak ketibaan bekalan itu minggu lalu.

“Saya melihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan beberapa Menteri Kabinet serta petugas barisan hadapan sudah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech sejak pelancaran pada 24 Februari lalu.

“Jadi, menerusi pengambilan itu rakyat sudah semakin yakin dengan keberkesanan vaksin Pfizer selepas tidak melihat sebarang kesan sampingan dari yang telah mengambil suntikannya pada Rabu lepas, tapi mereka kata memanglah sebab pemimpin ambil barang baik.

“Saya membuat keputusan semalam bahawa saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, beliau bukannya mengelak menyuntik vaksin Pfizer kerana ia tidak bagus atau sebagainya.

Katanya Pfizer telah terbukti keberkesanannya berdasarkan sebilngan pemimpin yang sudah menerima suntikan tersebut.

“Saya mahu jadi barisan pemimpin yang memberi contoh vaksin akan datang mengenai keberkesanannya supaya meyakinkan rakyat dan menggalakkan mereka tampil kehadapan menerimanya.

“Saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya, kalau Sinovac dari China, atau dari Rusia saya akan ambil yang mana akan diluluskan dulu selepas ini.

“Tapi saya tidak akan ambil Pfizer. Malah saya juga tak pasti vaksin mana yang akan menyusul selepas ini untuk disuntik tapi sudah bersedia untuk disuntik kelak,” tegsnya lagi.-MalaysiaGazette