Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri (kanan) bergambar memegang plakad selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11 Covid-19, Putrajaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 26 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sehari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri memaklumkan sehingga kini beliau tidak mengalami sebarang alahan.

Zulkifli, 52, berkata sehingga kini tiada apa-apa perubahan yang dirasainya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan tugas memberikan vaksin kepadanya semalam dengan berhemah danĀ  cermat.

“Alhamdulillah selesai ambil (suntikan vaksin Covid-19) keadaan saya seperti biasa, semalam pun sama seperti biasa tidak mempunyai sebarang bentuk alahan untuk diri saya.

“Saya nak ucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, yang sentiasa prihatin dan juga KKM yang begitu berhemah dan tertib dalam melaksanakan tugasan yang cukup mencabar dan sentiasa dilihat oleh khalayak masyarakat kita,”katanya menerusi video yang dimuatnaik di akaun Instagram dan Facebooknya hari ini.

Beliau sekali lagi menyeru agar rakyat negara ini, mengambil vaksin Covid-19 untuk melindungi diri dan orang lain.

Zulkifli pada tahun lalu, pernah dijangkiti Covid-19 namun kemudian disahkan bebas daripada wabak itu selepas menerima rawatan. -MalaysiaGazette