Petugas kesihatan SelCare melakukan ujian saringan Covid-19 kepada anggota bomba di Dewan Komuniti Kampung Lindungan, Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 21 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,828 kes baharu positif dengan 2,486 kes sembuh direkodkan untuk tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengahari.

Berikutan itu jumlah kumilatif kes sembuh sepenuhnya meningkat kepada 275,903 kes manakala jumlah keseluruhan kes baharu adalah 302,580 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,821 kes penularan tempatan dan tujuh kes import dilaporkan untuk kes positif baharu.

Katanya, sebanyak 25,542 kes aktif dilaporkan dengan 198 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut seramai 90 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak lima kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah korban Covid-19 di negara ini meningkat kepada 1,135 kes.

Johor mencatatkan kes harian tertinggi dengan 490 kes diikuti Selangor (453 kes), Sarawak (220 kes), Negeri Sembilan (167 kes), Perak (144 kes), Sabah (104 kes), Pulau Pinang (85 kes), Kuala Lumpur (75 kes), Kelantan (36 kes), Kedah (16 kes), Terengganu (15 kes), Melaka dan Pahang masing-masing 8 kes, Putrajaya (6), dan Perlis satu kes. – MalaysiaGazette.