Filem Minari

SEOUL – Filem drama “Minari” berkisar mengenai keluarga pendatang Korea-Amerika dinobatkan filem bahasa asing terbaik di Anugerah Golden Globe Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Filem itu menewaskan “Another Round” dari Denmark, “La Llorona” (Guatemala), “The Life Ahead” (Itali) dan “Two of Us” (Perancis).

Ini adalah tahun kedua berturut-turut filem berbahasa Korea memenangi penghargaan Hollywood Foreign Press Association (HFPA), selepas “Parasite” arahan Bong Joon-ho memenangi Oscar, tahun lalu.

“Minari,” ditulis dan diarahkan pengarah Korea-Amerika, menceritakan kisah keluarga pendatang Korea yang berpindah ke Arkansas pada 1980-an dan mengusahakan ladang untuk mengejar impian mereka.

Sejak muncul di festival filem Sundance tahun lalu, filem semi-autobiografi Chung itu telah mencuri perhatian dan mampu memberi saingan pada Anugerah Akademi yang dijadual pada April.

Sepanjang tahun lalu, ia telah merangkul beberapa gelaran dan pencalonan dari anugerah filem AS, termasuk muzik terbaik, pelakon terbaik dan pelakon pembantu terbaik dalam anugerah Screen Actors Guild.

“Minari” turut mencetus kontroversi di AS, kerana HFPA mencalonkannya dalam kategori filem bahasa asing terbaik, bukan dalam filem terbaik, dengan alasan kebanyakan dialognya ditutur dalam bahasa Korea.

Ramai dalam kalangan orang hiburan AS berbangsa Korea-Amerika dan Asia mempertikaikan keputusan itu, dengan mengatakan bahawa “Minari” adalah mengenai keluarga Amerika yang dihasilkan oleh pengarah dan syarikat produksi AS.- BERNAMA