Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seramai 1.46 juta individu atau 6.1 peratus penduduk Malaysia mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 sehingga jam 11 pagi hari ini, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu memberitahu, bagi tempoh sama, seramai 17,064 telah divaksin yang menyaksikan daerah Kuching mencatatkan paling ramai penerima vaksi iaitu 1,677 orang.

Jelas beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ini diikuti daerah Sibu seramai 1,360 individu, Kinta (1,141) dan Kuantan (1,075) serta Mukah seramai 822 individu.

“Sementara itu bagi negeri yang tertinggi jumlah vaksinasi adalah Sarawak seramai 7,402 individu, Pahang (2,419) dan Perak seramai 1,277 individu serta jumlah terkini akan dikemaskini setiap masa.

“Kita menyasarkan program imunasi ini masih lagi di tahap masih rendah dan usaha agresif akan dibuat agar lebih ramai yang akan mendaftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba secara maya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), di Putrajaya hari ini.

Khairy menambah, kadar pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin yang kurang memberangsangkan ketika ini, berpunca daripada sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjangka situasi sedemikian namun kerajaan menaruh kepercayaan kadar pendaftaran bakal meningkat dalam tempoh terdekat.

Katanya, peningkatan kadar pendaftaran mampu dicapai seiring pembukaan kaedah pendaftaran menerusi laman web rasmi, secara dalam talian dan berkunjung ke hospital atau klinik berdekatan. – MalaysiaGazette