Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Satu kluster di Muar dikesan merekodkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tempat kerja ini menjangkiti 344 individu.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 25 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja dua buah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bakri, Muar. Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama pekerja di mana penularan kes-kes berlaku iaitu di Jalan Kempas 3, Kawasan Perindustrian Bakri, Muar.

“Sehingga 1 Mac 2021, sejumlah 592 individu telah disaring, di mana 344 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata Noor Hisham.

Johor mencatatkan dua lagi kluster tempat kerja iaitu Kluster Sungai Burung dan Kluster Jalan Wawasan 12.

Kluster Sungai Burung dikesan di dearah Pontian melibatkan 22 kes positif Covid-19 dan Kluster Jalan Wawasan 12 di Batu Pahat melibatkan tujuh kes.

Selangor mencatatkan dua lagi kluster juga melibatkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Melati di daerah Gombak melibatkan pekerja sebuah kedai serbaguna dengan tujuh kes.

Kluster Desa Empat melibatkan daerah Kuala Selangor yang melibatkan pekerjapekerja sebuah pasar raya yang terletak di Desa Coalfields.

Sejumlah 18 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu.

Dua lagi kluster iaitu Kluster Bukit Marak di Kelantan melibatkan kluster komuniti dan Kluster Jalan Cempedak di ibu negara iaitu kluster kumpulan berisiko tinggi.

“Kluster Jalan Cempedak melibatkan daerah Kepong melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas dengan 10 kes direkodkan,” katanya.

Dalam pada itu, Kluster Bukit Marak dikesan di daerah Kota Bharu dan Bachok melibatkan 66 kes. – MalaysiaGazette