KUALA LUMPUR – Malaysia dan Brunei membincangkan pelaksanaan pengaturan vaksinasi timbal balik untuk kedua-dua diplomat dan pelajar kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berakata, perkara tersebut merupakan antara tiga perkara yang dibincangkannya dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof ketika melakukan lawatan rasmi di Bandar Seri Begawan hari ini.

Kedua-dua menteri itu turut berbincang mengenai akses terhadap bekalan vaksin untuk Malaysia dan Brunei selain mengiktiraf sijil vaksinasi antara kedua-dua negara.

Jelas Hishammuddin, langkah itu akan memudahkan pergerakan rakyat di antara kedua-dua negara.

“Sewaktu perbincangan bersama Datuk Seri Setia Haji Erywan, kami memperakui bahawa hubungan Malaysia dan Brunei adalah istimewa dan telah terjalin sekian lama.

“Di atas dasar itu, kami berkongsi harapan agar hubungan ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi terutama di era pasca pandemik Covid-19.

“Hubungan istimewa ini turut disokong dan disandarkan atas pelbagai kepentingan bersama, perkongsian nilai, serta budaya yang saling berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ketika lawatan rasmi itu, Hishammuddin turut menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

 

 

Terdahulu Hishammuddin menyifatkan mekanisma dua hala yang sedia ada di antara Malaysia dan Brunei melibatkan Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) dan Mesyuarat Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL) merupakan platform penting bagi kedua-dua negara saling bertukar pandangan mengenai isu-isu yang menjadi perhatian, termasuk perihal persempadanan darat dan kerjasama dalam sektor minyak dan gas.

Selain itu, Hishammddin turut sempat membincangkan isu pengambilalihan tentera di Myanmar.

Katanya, kedua-dua negara berpendirian pihak berkuasa negara itu perlu menegakkan dan menghormati institusi, kedaulatan undang-undang, kebebasan dan hak asasi manusia, termasuk hak untuk berhimpun secara aman serta kebebasan bersuara.

“Semua pihak yang relevan perlu mengelak daripada menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat serta memburukkan lagi keadaan di negara berkenaan.

“Kami juga kesal dengan tragedi kehilangan nyawa dan kecederaan disebabkan situasi berterusan di Myanmar,” tambahnya. – MalaysiaGazette