Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa. Foto SHAFIY ZUL, 01 MAC 2021

KUALA LUMPUR – Pusat zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasar untuk mengutip zakat lebih  RM800 juta pada tahun ini berbanding RM768 juta pada 2020.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri  Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, pihaknya menyasar seramai 500,000 pembayar zakat pada tahun ini berbanding 300,000 orang pada tahun lalu.

“Kami akan turun ke bawah dan mendekati korporat dan syarikat-syarikat besar untuk memastikan mereka memahami tanggungjawab untuk semua pekerja islam bagi pemotongan zakat sebanyak 2.5 peratus,” katanya.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee memberi ucapan pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa. Foto SHAFIY ZUL, 01 MAC 2021

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran identiti korporat baharu PPZ-MAIWP di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, di sini hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Pengawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee (berbaju hitam) menyempurnakan wajah baharu kenderaan PPZ-MAIWP pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa. Foto SHAFIY ZUL, 01 MAC 2021

Sementara itu, Syed Ali berkata, penjenamaan semula identiti korporat PPZ-MAIWP selaras dengan pemodenan serta semangat dan iltizam pihaknya untuk menjadi sebuah institusi zakat yang terkehadapan.

Menurut beliau, penjenamaan semula identiti korporat adalah salah satu usaha berterusan untuk memantapkan nama korporat dan jenama PPZ-MAIWP sebagai institusi terbaik di dunia.

“Menggunakan moto ‘Memudahkan Anda Berzakat’, kami di PPZ-MAIWP berazam untuk terus menyediakan pelbagai kemudahan untuk pembayar zakat.

“Semoga dengan penjenamaan semula identiti korporat ini dapat memacu PPZ-MAIWP untuk terus menjadi institusi zakat yang selari dengan institusi kewangan yang lain,” ujarnya.

Wajah baharu ini dilengkapi dengan susun atur dalaman yang menggalakkan keyakinan dan keselesaan kepada pelanggan PPZ-MAIWP dan a akan dilaksanakan secara berperingkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast