Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

KUALA LUMPUR – Setelah lima dekad kewujudannya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini telah memayungi sebanyak 8.57 juta pekerja di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, menurut Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, sebanyak 490,000 majikan aktif telah berdaftar dengan pertubuhan berkenaan di mana 23 peratus daripadanya atau majoritinya di Selangor.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, peranan Perkeso saban tahun semakin meluas dan mendalam sesuai dengan peredaran masa.

Bukan hanya memberi perlindungan sosial kepada pekerja Perkeso kini menjadi platform penyedia perkhidmatan pekerjaan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Lima puluh tahun lalu, Perkeso ditubuhkan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dengan tanggungjawab melaksanakan skim keselamatan sosial di bawah akta tersebut.

“Perkeso kini bukan lagi hanya organisasi untuk pencarumnya membuat tuntutan setelah ditimpa bencana kerja ataupun tuntutan ilat.

“Selain daripada melaksanakan aktiviti pencegahan seperti keselamatan di tempat kerja dan jalan raya serta promosi
kesihatan dan kesejahteraan pekerja, Perkeso juga memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan terutamanya bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas Perkeso sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan itu secara dalam talian hari ini.

Perkeso, katanya, sangat berbesar hati kerana digandingkan dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan untuk menangani masalah pengangguran termasuk mengelak majikan gulung tikar khususnya dalam tempoh penularan Covid-19  yang mencabar ini.

“Semua ini dilaksanakan, antaranya menerusi Program Subsidi Upah, PenjanaKerjaya, Bantuan Latihan dan Latihan Semula, Program Perantisan serta Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs,” tambahnya.

Mohammed Azman ketika pra pelancaran turut mengumumkan tema sambutan tahun ini iaitu “Prihatin Lima Dekad dan Selamanya”.

Jelasnya, tema itu dipilih selaras dengan budaya Prihatin pertubuhan tersebut yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan perlindungan keselamatan sosial pencarum serta orang tanggungan mereka sepanjang 50 tahun beroperasi.

Beliau dalam masa yang sama turut melancarkan logo 50 tahun Perkeso yang dihasilkan sendiri oleh  anggota pertubuhan itu.

Perkeso juga ujarnya, menyediakan pelbagai acara menarik yang disasarkan untuk semua lapisan masyarakat sempena ulang tahun kelima dekad ini antaranya Pertandingan Fotografi “Perkeso Graphy”, Pertandingan Mencipta Jingle, Pertandingan Debat, Pidato dan Deklamasi Sajak, Anugerah Media serta Karnival PenjanaKerjaya 50 Tahun.

Tidak dilupakan program-program berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seperti Clean The Planet, Program Bersama Ibu Tunggal, Anak Angkat Perkeso dan Jelajah Prihatin.

Juga dalam agenda adalah Kaji Selidik Kesedaran dan Kualiti Perkhidmatan PERKESO. Kemuncak kepada acara sambutan ialah gala dinner yang dijangka berlangsung Oktober tahun ini, untuk meraikan pemegang taruh seperti majikan selain mereka yang berjasa sepanjang 50 tahun pewujudan Perkeso.- MalaysiaGazette