Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap ketika sidang media dan memohon maaf kepada Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kerana menfitnah beliau berhubung kes dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal membuat permohonan maaf itu dihadapan media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebagai sebahagian daripada penyelesaian tuntutan saman fitnah terhadapnya.

Malah beliau dalam nada kesal mengakui Bee Yin seorang pemimpin yang jujur dan tulus dalam mengendalikan pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.

”Hasil perbincangan kedua-dua peguam belah pihak dan dipersetujui oleh saya dan YB Yeoh Bee Yin dihadapan hakim hari ini, maka saya Jamal Md Yunos memohon maaf kerana memfitnah Yeoh Bee Yin sebelum ini.

“Saya sekarang ini mengakui bahawa Yeoh Bee Yin seorang yang jujur dan tulus dalam menguruskan wang mesra usia emas (Yawas). Saya ingin memohon maaf kepada beliau atas kesilapan saya. Saya minta maaf.

“Ini adalah perkataan yang saya lafazkan untuk memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku empat tahun lepas.

“Inilah politik, walaupun berbeza pendapat dan fahaman politik tapi kami dapat selesaikan dengan cara baik,” katanya dihadapan peguamnya, V. Mugunthan dan Mohammed Nasser Yusof.

Manakala Bee Yin pula diwakili peguam Datuk Sankara Nair.

Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

Bagaimanapun, Bee Yin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bakri mewakili DAP tidak hadir ke mahkamah  untuk mendengar permohonan maaf Jamal.

Terdahulu, dalam prosiding terbuka Mahkamah Tinggi, Hakim Rohana Ali Yusof merekodkan penyelesaian antara Jamal dan Bee Yin yang disampaikan oleh peguam masing-masing.

Pada Januari tahun ini, mahkamah menolak permohonan Jamal  untuk menangguhkan perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan oleh Bee Yin sebaliknya memutuskan demikian dengan kos sebanyak RM1,000 perlu dibayar defenden.

Pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Menurut pernyataan tuntutannya Bee Yin mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal antara lain memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. -MalaysiaGazette