Abdul Aziz Mohd Yusof.

KUALA LUMPUR – Walaupun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak melawan kerajaan negeri namun menegaskan ia tidak sama boleh dilihat suatu bentuk pengiktirafan terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Maknanya ia bukan pengiktirafan oleh mahkamah dan MAIS, kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Ini kerana perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap merupakan suatu kesalahan yang amat serius di sisi agama Islam yang bercanggah dengan ajaran
Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya telah mengadakan mesyuarat khas pada semalam bagi membincangkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra.

Menurutnya, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu berhubung dengan petisyen di bawah Artikel 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang difailkan oleh Iki Putra, seorang lelaki beragama Islam yang telah dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii di bawah Seksyen 28 yang dibaca bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995.

Isu yang dibawa ke hadapan Mahkamah Persekutuan adalah berhubung dengan interpretasi, kesahan dan kesan
penggubalan Seksyen 28 EJSS menurut Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Mahkamah Persekutuan setelah mendengar hujahan daripada semua pihak telah memutuskan bahawa walaupun perlakuan persetubuhan luar tabii adalah merupakan satu kesalahan yang melanggari perintah agama Islam, namun kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang mengenainya adalah dihadkan oleh klausa pengecualian di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pengecualian terhadap perkara-perkara yang termasuk di dalam senarai Persekutuan.

“Oleh yang demikian DUN tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak kompeten untuk menggubal peruntukan Seksyen 28 EJSS dan Seksyen 28 berkenaan telah diputuskan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, Allah SWT melaknat sesiapa yang melakukan amalan kaum Nabi Luth (liwat) termasuk dalam dosa besar dan termasuk dalam perkara-perkara yang wajib dibendung bagi menjamin kelestarian kesejahteraan masyarakat di Negeri Selangor.

Undang-undang dan peraturan yang dibina di negeri ini bertepatan dengan ajaran Islam melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, katanya lagi.

Kesalahan itu juga diperuntukkan di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan boleh dijatuhi dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan rotan.

Berikutan dengan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam negeri akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan untuk kesalahan yang dilakukan oleh Iki Putra  diteruskan oleh pihak PDRM mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa DUN untuk membuat undang-undang berhubung dengan kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam, namun ia hendaklah selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri),
Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya telah menyatakan bahawa pihak DUN masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan syariah yang meliputi perkara-perkara kesalahan melibatkan akidah, kesalahan melibatkan kesucian agama Islam dan kesalahan berkaitan moral.

Justeru itu, katanya, MAIS akan terus mendokong prinsip-prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan EJSS demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri terus terpelihara di Malaysia dan Negeri Selangor khasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Undang-undang Syariah kaitkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah – Mahkamah Persekutuan