Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali melakukan gimik Pelancaran Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu Kayan di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Seramai 80 orang jurutera dan pra siswazah akan mengikuti Program Latihan Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 bermula bulan ini sebagai usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Program tersebut disertai lapan buah institusi pengaian iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program itu bertujuan membekalkan tenaga mahir jangka masa panjang khususnya melibatkan jurutera dan siswazah menceburkan diri dalam sektor perkayuan.

Ini kerana sektor berkenaan dilihat mempunyai daya saing yang baik dan prospek ekonomi itu sangat sesuai diceburi oleh golongan muda.

“Walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19, sektor perkayuan masih lagi mampu menyumbang nilai eksportnya iaitu RM22.2 bilion berbanding yang disumbang pada 2019 iaitu RM22.5 bilion.

“Perubahan hanya sedikit sahaja…ertinya walau dalam pandemik sektor perkayuan masih mampu memacu kejayaan industri.

“Sebab itu kita kata peluang dari segi prospek ekonomi dan pekerjaan sangat besar dalam bidang ini…kita menyasarkan untuk tahun pertama seramai 80 orang jurutera dan prasiswazah untuk terlibat dalam program ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, para peserta yang mengikuti program tersebut bukan sahaja diberikan elaun sebanyak RM2,000 sebulan malah semua keperluan mereka akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).

Beliau berharap agar kerjasama yang dilakukan antara MTC dan universiti-universiti terlibat akan dapat dilanjutkan sama seperti di dalam sektor sawit, getah, lada dan kenaf.

Terdahulu, Mohd Khairuddin melancarkan Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah (EPIP) Dalam Industri Kayu Kayan 2021 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MTC, Persatuan Kayu-Kayan, Institusi Pengajian Tinggi dan Politeknik.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata, pelancaran program itu sememangnya tepat pada masa dalam memperkasakan modal insan mendepani ketidaktentuan cabaran yang bakal mendatang khususnya dalam sektor kayu-kayan.

Ujarnya, situasi global pada masa ini yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19 pastinya menyaksikan tempoh krisis dan pemulihan yang berpanjangan.

“Justeru, kita perlu kreatif untuk mencari solusi yang lebih menyeluruh bagi memastikan setiap perancangan dapat
dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette