Warga emas menjadikan bengkel motosikal sebagai premis melepaskan gian berjudi.

KUALA LUMPUR – Polis merampas RM1,216,617.00 hasil aktiviti judi menerusi Op Limau 2021 yang diadakan bermula 1 hingga 28 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, jumlah rampasan itu meningkat sebanyak 116 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM562,312.00.

Dalam masa sama, beliau berkata, seramai 1,513 orang telah ditangkap untuk tempoh berikut yang mana jumlahnya meningkat sebanyak 51.3 peratus berbanding tahun lalu.

Berdasarkan jumlah serbuan dan rampasan ini, Huzir menyifatkan Op Limau 2021 berjaya dalam usaha membanteras aktiviti perjudian sempena Tahun Baru Cina.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan dan judi tempat bebas yang tertakluk di dalam jadual pertama serta kedua dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sebanyak 203 serbuan telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh tersebut berbanding 141 serbuan pada tahun 2020 (peningkatan sebanyak 62 serbuan, 43 peratus)” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menerusi operasi berkenaan, Huzir berkata, sebanyak dua kes aktiviti judi Pai Kaw berjaya ditumpaskan pada 13 dan 21 Febuari lalu.

“Pada 13 Febuari 2021, satu serbuan melibatkan judi Pai Kaw telah dijalankan di Bukti Tengah, Pulau Pinang dan berjaya menangkap seramai 16 lelaki Cina warga tempatan dan tiga lelaki warganegara China serta merampas wang tunai berjumlah RM276,950.00.

“Pada 21 Febuari 2021, dua serbuan melibatkan judi Pai Kaw dan judi sisik telah dijalankan di Endau, Mersing Johor dan berjaya menangkap seramai 24 lelaki serta enam perempuan Cina warganegara tempatan dan merampas wang tunai berjumlah RM98,599.00,” katanya lagi.-MalaysiaGazette