Tan Sri Muhyiddin Yassin
Saudara Pengarang,
Saya mengikuti laporan media baru-baru ini yang memuatkan wawancara khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena setahun pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Daripada visual yang dipaparkan, saya dapat melihat kejujuran dan keikhlasan beliau sepanjang menjawab soalan yang dikemukakan pemberita.

Paling menyentuh hati adalah apabila Perdana Menteri ditanya apa yang mendorongnya selama setahun menerajui kerajaan.

Melihat visual yang dipaparkan, dengan rendah diri beliau menjawab: “Yang menjadi pendorong saya ialah rasa tanggungjawab dan amanah yang mesti saya tunaikan”.

Saya yakin kerana rasa kebertanggungjawaban dan amanah itulah yang masih meletakkan Ahli Parlimen Pagoh itu di kerusi Perdana Menteri walaupun wujud pelbagai gangguan dan cubaan menjatuhkannya selama setahun beliau menerajui negara.

Sebagai orang Islam, saya percaya pada takdir, ketentuan Allah SWT dalam setiap perkara, percaya kepada firman Yang Maha Esa dalam Surah Yasin, ayat 82 yang membawa maksud, jika Allah berkehendakkan sesuatu itu terjadi, maka terjadilah ia.

Jawapan susulan Muhyiddin dalam wawancara khas itu juga berteraskan perkara sama ketika beliau ditanya mengenai jawatan tertinggi dalam kerajaan yang disandangnya.

“Semuanya kerana kuasa Allah. Saya pun tidak pernah bermimpi, tetapi apabila dilantik, saya tahu ini amanah, tanggungjawab besar dan jawatan paling penting dalam negara. Jadi saya sedar, apabila pegang amanah, sebagai seorang Islam, saya tidak boleh
abaikan kerana akan ditanya di akhirat nanti,” katanya.

Beliau mengakui, jawatan Perdana Menteri datang bersama tanggungjawab melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat walaupun pelantikannya bukan melalui Pilihan Raya Umum(PRU), tetapi disebabkan krisis politik awal tahun lalu.

Sepanjang setahun itu, saya dan juga jutaan rakyat lain dapat melihat apa yang dilakukan Muhyiddin sejak hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri, dan seperti dimaklumkan dalam wawancara khas itu, beliau bermesyuarat setiap hari mencari jalan menyelamatkan Malaysia dan membantu rakyatnya dalam keadaan negara diancam wabak berbahaya.

Ia bukan omongan kerana sudah terbukti itu yang dilakukan beliau dan kerajaan, melalui pelbagai inisiatif dan usaha untuk melindungi nyawa dan kesihatan, mengimbangi keperluan ekonomi dan kehidupan.

Daripada mesyuarat setiap hari itulah lahir pakej rangsangan yang bersusun dengan nilai bantuan makro dan mikro berjumlah lebih RM300 bilion termasuk Bantuan Prihatian Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), manakala lebih RM3 bilion pula diperuntukkan bagi melindungi kesihatan melalui pembelian vaksin Covid-19.

Institusi kewangan pula diajak membantu dengan pelaksanaan moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mewujudkan skim i-Lestari dan i-Sinar yang nilainya juga berbilion ringgit bagi meringankan  beban jutaan pencarum.

Semua bentuk bantuan yang diusahakan kerajaan sepanjang tempoh setahun lalu, daripada PENJANA, PRIHATIN hinggalah PERMAI ada rekodnya, gunakan saja enjian carian Google, senarainya ada di situ.

Namun, sepanjang setahun sejak 1 Mac 2020 itu, tidak banyak berita Perdana Menteri berbicara mengenai politik, sebaliknya yang banyak adalah serangan politik terhadap beliau.

Saya yakin kritikan dan serangan terhadap Perdana Menteri serta PN tidak akan terhenti, tetapi saya juga yakin rakyat pasti bijak menilai dan tidak lupa kepada kerajaan yang prihatin apabila tiba masanya memilih pentabiran baharu pada PRU nanti.- MalaysiaGazette
Khusairi Abd Manaf
Segamat, Johor