Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan bagi kes pembunuhan warga Pakistan ketika sidang media di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 2 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati disyaki dibunuh oleh dua rakan senegaranya berpunca daripada perselisihan faham akibat hutang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Assistan Komisioner Beh Eng Lai berkata,  pada 18 Februari lalu polis menerima maklumat tentang penemuan mayat lelaki berkenaan di bilik tingkat atas di rumah kedai Jalan Sentul.

”Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat mangsa berusia 21 tahun itu dalam keadaan tertiarap dalam bilik tidur.

“Hasil bedah siasat mendapati kecederaan di leher dan beberapa kesan tetakan pada mangsa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat dan risikan polis, Eng Lai berkata, dua suspek warga Pakistan berusia 22 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil soal siasatan lanjut polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

“Siasatan polis mendedahkan mangsa bekerja di sebuah restoran makanan segera di Jalan Sentul manakala suspek berusia 22 tahun itu juga pekerja makanan segera di Jalan Genting Kelang sementara seorang lagi suspek merupakan pembina jalan jubin.

“Siasatan lanjut mangsa telah meminjamkan wang ribuan ringgit kepada suspek berusia 40 tahun sebelum berlaku pertengkaran ketika meminta bayaran semula.

“Mangsa dan kedua-dua suspek saling mengenali walaupun duduk berasingan,” ujarnya.

Tegas beliau kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 KK kerana membunuh.

Malah Eng Lai berkata, kesemua suspek dithan pada 22 Februari lalu akan dirujuk kertas siastannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan di mahkamah. – MalaysiaGazette