Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 559,619 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sepanjang tempoh sebulan bermula 1 Februari lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 8,842 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala selebihnya, 550,777 orang lagi negatif.

Menurut beliau, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, semalam sahaja seramai 8,824 warga asing telah melakukan ujian saringan dan 36 daripada mereka didapati positif Covid-19.

“Keseluruhan jumlah pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan itu melibatkan 29,262 majikan.

“Sehingga kini sebanyak 1,503 klinik terlibat dengan program saringan berkenaan dan setiap pekerja warga asing wajib menjalani ujian saringan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, pemantauan dan pemeriksaan anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil serta mencukupi.

Semalam, katanya, KPDNHEP telah melakukan 737 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (543), pemborong (163) dan pengilang (31).

Kata beliau, KPDNHEP juga telah melakukan 1,199 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,193 premis mematuhinya, manakala enam lagi diberi nasihat.

Beliau juga menyatakan, anggota Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut melakukan 42 pemeriksaan di tapak binaan di seluruh negara, dengan semuanya mematuhi SOP.

“Keseluruhannya, CIDB telah melakukan 15,896 pemeriksaan melibatkan 8,996 tapak binaan sejak 20 April tahun lalu. – MalaysiaGazette