Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan rakyat Malaysia beruntung kerana kesejahteraan mereka menjadi perkara utama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hal ini adalah berpaksikan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kata pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris.

Menurutnya, menerusi RMK-12 dan RMK-13, pihaknya melahirkan harapan besar kerajaan dapat merealisasikan peta ekonomi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai agenda pemulihan ekonomi bagi rancangan jangka panjang negara.

“Justeru, perkara pembasmian kemiskinan baharu akibat pandemik Covid-19 termasuk kemiskinan sedia ada hendaklah dijadikan agenda atau solusi pertama yang perlu dicapai berdasarkan jumlah yang sangat ramai dalam kategori kemiskinan di negara ini.

“Kaukus mengambil kira perkara ini secara serius yang mana kumpulan T20 sebahagiannya menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40 termasuklah kumpulan B40 yang terus bertambah miskin.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, program-program yang dirancang menerusi WKB 2030 di bawah RMK-12 dan RMK-13 perlu disasarkan kepada kumpulan rentan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kaukus percaya rakyat tidak akan melupakan jasa dan keprihatinan kerajaan PN yang tidak pernah berputus asa memerangi pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lalu yang pastinya menaruh keyakinan tinggi bahawa kerajaan sedia ada berkeupayaan dalam merealisasikan WKB 2030.

“Sehubungan itu, kaukus selari dengan harapan Kerajaan PN untuk terus mengambil langkah berani dan proaktif demi usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.” ujarnya. -MalaysiaGazette