Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membangunkan Portal Rumah Siswa sebagai panduan kepada mahasiswa untuk mencari rumah sewa di sekitar kampus masing-masing.

Sehingga 16 Februari 2021, sebanyak 1,250 buah rumah di seluruh negara telah didaftarkan di dalam Portal Rumah Siswa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, portal ini juga berfungsi untuk memberi khidmat nasihat, memudahkan proses pencarian bilik atau rumah sewa serta mengekalkan harga sewa rumah pada kadar yang berpatutan.

“Selain itu, portal ini juga dapat memastikan kewujudan pangkalan data khusus di peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan yang diperoleh, jarak terhadap akses kemudahan universiti serta paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus,” katanya ketika majlis perasmian portal rumah siswa di Facebook rasmi KPT.

Tambah Noraini, inisiatif rumah siswa ini melibatkan tiga komponen utama iaitu , pembangunan unit pengurusan pelajar luar kampus, pembangunan garis panduan penguruasan pelajar luar kampus dan portal rumah siswa.

“Bagi inisiatif pembangunan unit pengurusan pelajar luar kampus. KPT bersama 20 buah Universiti Awam telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) yang berperanan sebagai pentadbir, penasihat, khidmat kaunseling perumahan dan kepada pelaksanaan program serta aktiviti pelajar luar kampus.

“Dalam memastikan inisiatif ini berlangsung pada landasan yang tepat, satu garis panduan pengurusan pelajar luar kampus yang komprehensif telah dibangunkan dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM).

“Garis panduan ini dirangka meliputi lima aspek utama iaitu pembangunan pelajar luar kampus, perkhidmatan pelajar luar kampus, pengurusan kebajikan pelajar luar kampus, pengurusan rumah sewa serta jaringan masyarakat pelajar luar kampus,” ujarnya.

Bagi para pelajar yang ingin mendaftar, anda boleh mengakses portal melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.  -MalaysiaGazette