KUALA LUMPUR – Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import mencatatkan pertumbuhan positif tertinggi pada bulan Januari 2021 dalam tempoh 12 bulan.

Indeks nilai seunit eksport terus mengekalkan trend positif bagi lima bulan berturut-turut, manakala indeks nilai seunit import menunjukkan trend yang sama mulai Disember 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 1.6% pada Januari 2021dipacu oleh kenaikan indeks minyak galian (+8.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+6.4%) dan bahan kimia (+0.8%).

Walau bagaimanapun, indeks volum eksport jatuh 7.9% berbanding bulan sebelumnya yang didorong oleh prestasi lemah indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-49.7%), minyak galian (-19.3%) dan barang-barang keluaran kilang (-8.4%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan penyusutan 7.3% daripada 154.0 mata kepada 142.8 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 1.9% manakala indeks volum eksport naik 8.7%.

Menurutnya, indeks nilai seunit import tumbuh 0.7% berbanding bulan sebelumnya pada Januari 2021disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+7.7%), bahan kimia (+0.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4%).

Sementara itu, indeks volum import menguncup 3.3% yang disebabkan oleh prestasi lemah indeks pelbagai barang keluaran kilang (-10.2%), bahan kimia (-7.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-3.9%).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Januari 2021 merosot 2.0% daripada 146.1 mata kepada 143.1 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 3.2% manakala indeks volum import meningkat 4.6%.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia bertumbuh 0.9% bulan ke bulan daripada 100.2 mata kepada 101.1 mata pada Januari 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 1.3% daripada 99.8 mata pada Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette