KUALA LUMPUR – Penjawat awam dilarang membuat pernyataan secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran.

Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan serta kegelisahan dalam masyarakat.

Tindakan seumpama itu juga boleh menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq bin Abdullah berkata, etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam khususnya berkaitan penggunaan media sosial dan tegahan membuat pernyataan awam tanpa kebenaran, bukan bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.

Sebaliknya, kata beliau, ia bagi memastikan pegawai menggunakan saluran maklum balas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan.

”Setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salahlaku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib.

”KKM memandang serius berhubung dengan salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat pernyataan awam secara tidak wajar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau merujuk kepada edaran pernyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan KKM.

Menurut beliau, setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuatkuasa. – MalaysiaGazette