Polis dengan kerjasama TNB bongkar kegiatan melombong Bitcoin secara haram di sekitar Bukit Mertajam.

SEBERANG PERAI – Enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong wang kripto atau Bitcoin ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam malam tadi.

Serbuan bermula jam 4.30 petang hingga 11 malam itu dilakukan susulan maklumat dan risikan sepasukan polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Polis dengan kerjasama TNB bongkar kegiatan melombong Bitcoin secara haram di sekitar Bukit Mertajam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, enam lelaki berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan.

Katanya, empat premis diserbu dalam operasi berkenaan dan hasil siastaan mendapati suspek menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 322 unit mesin Bitcoin bersama beberapa barang lain seperti komputer riba yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

Sebahagian daripada mesin melombong Bitcoin dirampas dalam serbuan tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek adalah menyewa premis bangunan sebelum menyambung arus elektrik secara haram bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan kegiatan perlombongan bitcoin bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB tetapi boleh mengundang kebakaran disebabkan litar pintas kerana rangkaian komputer berkuasa tinggi digunakan 24 jam tanpa pengawasan.

Tambah Rahimi, jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette