logo bomba
Logo Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

SEREMBAN – Dua maut dan tiga lagi cedera termasuk wanita mengandung manakala dua lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan sebuah Toyota Hilux di Batu 4 1/2 Jalan Jelebu-Seremban , dekat sini, semalam.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban PBK II Mokhtar Mohamad berkata, dalam kemalangan kira-kira 7.45 malam itu, seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan pemandu Proton Saga itu  dan penumpang wanita berusia 40 tahun, maut selepas tersepit dalam kereta berkenaan.

Sementara itu, tiga lagi penumpang kereta itu, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengalami kecederaan di tangan, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an cedera kepala dan kaki manakala wanita mengandung berusia 29 tahun patah kaki kiri.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kenderaan Toyota Hilux yang merupakan pasangan suami isteri masing-masing berusia 40 dan 41 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, mangsa yang maut dan cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk tindakan lanjut.

Mokhtar berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.48 malam, 13 anggota dan pegawai dari BBP Seremban dengan dua jentera dan satu van EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. – Bernama