Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesan dua kes pertama COVID-19 yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2 yang juga dikenali sebagai B1.525 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut melibatkan dua warga asing yang tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif COVID-19 melalui ujian swab RT PCR.

Jelasnya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) seterusnya melakukan penjujukan genom penuh setelah mengambil kira sejarah perjalanan mereka.

“Analisis lebih lanjut menunjukkan terdapat semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Tambah beliau lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria B1.525 ini dan akan memaklumkan orang awam dari semasa ke semasa.

Menurut Dr Noor Hisham, varian Nigeria, B1.525, pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) dan Nigeria pada Disember 2020.

Katanya, ini termasuk mutasi “spike protein” E484K, Q677H, F888L dan rangkaian “protein deletions” serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.

Sama seperti mutasi “spike protein” E484K yang dapat menghindari sistem imun, varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imun.

Katanya, sejak varian itu dikesan, sebanyak 360 urutan varian boleh dijumpai di GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom irus influenza), dengan laporan tertinggi dari Denmark (n = 121) , diikuti oleh UK (n = 73) dan Nigeria (n = 56).- MalaysiaGazette