KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendapatkan tambahan kuota bagi pengambilan pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja Malaysia (MTDM).
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terletak bawah KPT dan kuota pengambilan pelajar lepasan MTDM sebelum ini hanya 10 peratus, maka cadangan itu perlu dirujuk dan dimohonkan kepada kementerian berkenaan.
“Kita minta pertambahan dari 10 peratus kepada 30 peratus jumlah pengambilan pelajar lepasan MTDM. Ini selaras dengan modul UPNM iaitu gabungan ketenteraan dengan akademik.
“Di universiti ini, lebih 23 peratus pelajar mendapat latihan ketenteraan, manakala selebihnya khusus kepada akademik tanpa asas ketenteraan.
“Jika permohonan diluluskan, kita cadang hendak gabungkan latihan ketenteraan dan akademik dalam modul pengajian,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke UPNM di sini, hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang; Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz.
Sebelum itu, beliau diberi taklimat mengenai UPNM di Bangunan Canselori dan melawat Pusat Maritim untuk menyaksikan simulator kapal, pameran penyelidikan dan menyampaikan sumbangan komputer serta bantuan kewangan kepada pelajar universiti itu.
Menurut Ismail Sabri, beliau dimaklumkan kira-kira 90 peratus daripada lepasan pelajar UPNM mendapat peluang pekerjaan yang baik dari majikan.
Katanya, alasan diberikan majikan dan syarikat berminat mengambil lepasan pelajar dari universiti ini, disebabkan mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi.
“Majikan melihat mereka ini ada latihan ketenteraan dan kuat dengan disiplin, maka mereka diutamakan. Sebab itu saya tekankan, pelajar di universiti ini perlu ada latihan ketenteraan,” katanya.
Beliau turut menyatakan, kementeriannya akan memperkasakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) UPNM dengan memberi tumpuan kepada hal berkaitan industri pertahanan seperti persenjataan.
Katanya, R&D itu bukan setakat menghasilkan produk, tetapi boleh dikomersialkan.
“Saya tengok banyak produk dihasilkan pelajar ini boleh dikomersialkan.
“Jika produk itu sesuai dengan kehendak Kementerian Pertahanan, kita boleh jadi pembeli utama kepada hasil yang dikeluarkan UPNM ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















