PETALING JAYA – Dua lelaki yang videonya tular dalam kejadian merempuh kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat di Sungai Buloh didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini.

Mustaza Mustafa, 35, berdepan dengan lapan pertuduhan manakala rakannya, Khairul Fazily Fadzil, 40, yang dikenali sebagai Bob Mah Sing pula berdepan dengan dua pertuduhan antaranya cubaan membunuh anggota polis, memiliki senjata berbahaya dan merempuh kereta.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Di Mahkamah Sesyen, di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Mustaza didakwa cuba membunuh M. Amareisan dan Mohd. Edham Zakaria dengan mengundurkan kereta secara laju dan cuba melanggar kedua-dua anggota polis berpangkat Koperal itu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Mustaza Mustafa (baju hijau) dan Khairul Fazily Fadzil dibawa anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Mustaza turut didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah kapak berhulu kayu tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan dikenakan sebatan.

Manakala Khairul Fazily didakwa atas tuduhan berdamping dengan Mustaza yang pada masa sama mempunyai senjata berbahaya.

Pertuduhan terhadap Khairul Fazily dikemukakan mengikut Seksyen 5 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) akta sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di lampu isyarat susur kiri, Jalan Kuala Selangor menghala Kepong, Damansara kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 26 Februari lepas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, Mustaza dan Khairul Fazily didakwa secara bersama menghalang dua anggota polis yang menjalankan tugas pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh, Mustaza Mustafa (baju hijau) dan Khairul Fazily Fadzil dibawa anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mustaza turut didakwa dengan empat lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan merosakkan empat buah kenderaan masing-masing Toyota Vellfire, Lexus, Perodua Myvi serta sebuah lori jenis Isuzu dan satu pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan.

Bagi pertuduhan khianat Mustaza didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan Mustaza didakwa mengikut Peraturan 7(1A) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 25(1)(a) yang meperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam dan Atifah Hazimah Wahab manakala Mustaza diwakili peguam, Datuk Suraj Singh dan Datin Raj Preet Kaur.

Manakala Khairul Fazily tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Mustaza diikat jamin RM43,000 bagi kesemua pertuduhan sementara Khairul Fazily tidak diberi ikat berikutan tiada penjamin.

Tarikh 19 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu, tular di media sosial sebuah video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta jenis Proton Waja dinaiki suspek yang enggan memberhentikan kenderaannya ketika ditahan.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh. – MalaysiaGazette.