Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang ditangkap selepas serbuan di sebuah premis kilang memproses penutup muka di Selayang pada awal tahun ini telah didakwa di Mahkamah Klang, Selangor.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan (35) pertuduhan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah telah menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, tiga lelaki itu merupakan enam warga tempatan yang ditahan selepas premis kilang memproses penutup muka di Selayang diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 14 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 38 orang kanak-kanak warga Myanmar berumur antara 13 tahun hingga 18 tahun telah diselamatkan.

Mereka yang ditangkap merupakan majikan dan pemilik kilang serta penyelia, pembantu dan penjaga.

Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) kerana disyaki menggaji dan melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap 38 orang mangsa di bawah umur.

Menurutnya, kesemua mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Rembau, Negeri Sembilan dan juga Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor Bahru, Johor.

Kes ditetapkan disebut semula pada 28 April ini. – MalaysiaGazette