Senior Minister of Education Datuk Dr. Radzi Jidin. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 04 MARCH 2021. SPM 2020 result Sijil Pelajaran Malaysia
Senior Minister of Education Datuk Dr. Radzi Jidin. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 04 MARCH 2021.

KUALA LUMPUR – “Banyak yang kita belajar dalam tempoh setahun dan banyak yang kita boleh tambah baik,” Kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Mengakui tempoh setahun berhadapan penularan pandemik Covid-19 sebagai cabaran besar buat kementeriannya, Dr Radzi berkata, pengalaman tersebut dijadikan asas untuk melakukan penambahbaikan dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan.

“Ianya satu tempoh yang mencabar, dalam tempoh setahun ini untuk menangani krisis bukan sesuatu yang mudah.

“Banyak yang kita belajar dalam tempoh setahun dan banyak kita boleh tambah baik berdasarkan apa yang kita pelajari di sepanjang tempoh ini,” katanya dalam sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Pendidikan.

Radzi yang memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Kanan pada 9 Mac tahun lalu berkata, beliau dan warga kementerian telah melakukan yang terbaik di sebalik rintangan dan pancaroba yang terpaksa mereka lalui.

Beliau juga menjadikan pengalaman tinggal di Australia beberapa tahun sebagai ruang untuk melihat sistem pendidikan di negara yang berbeza dan menggunakannya untuk melaksanakan penambahbaikan dalam mendepani pandemik Covid-19 terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

“Setiap keputusan itu kita buat berdasarkan kepada asas, selagi asas itu tepat dan memang berasas maka kita yakin bahawa keputusan yang kita buat itu adalah keputusan yang terbaik,” katanya.

Menurut Radzi, semua negara sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan ia merupakan pengalaman yang tidak pernah berlaku kepada mana-mana individu sebelum ini.

“Tidak ada sesiapa di antara kita yang pernah melalui proses ini dan sebab itu kita membuat keputusan berdasarkan maklumat dan data yang ada mengambil kira keadaan, kekangan dan risiko pada waktu itu,” katanya.

Beliau berkata, KPM juga membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majls Keselamatan Negara (MKN).

Radzi turut ditanya mengenai kritikan pelbagai pihak termasuk ibu bapa terhadap keputusan-keputusan yang dilaksanakan KPM sejak penularan Covid-19 antaranya termasuk tarikh pembukaan sekolah.

Menjawab pertanyaan itu, beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan keperluan semasa dan apa yang berlaku pada ketika itu.

Katanya, dalam mana-mana perang tidak ada keputusan ‘flip flop’ sebaliknya setiap keputusan dibuat berdasarkan keperluan semasa.

“Apa pun gerakan strategik yang kita buat dalam satu-satu keadaan krisis adalah berdasarkan analisis semasa,” katanya.

“Sebab itu dalam tempoh setahun ini, banyak kita belajar dan itu yang mungkin antara ramai pandang rendah,” katanya.

Menurut Radzi gelombang covid-19 muncul dalam keadaan yang tidak boleh dijangka, bermula dengan angka yang sedikit kemudian meningkat ke paras membimbangkan malah sehingga kini tidak diketahui bilakah pandemik tersebut akan berakhir.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kementerian Pendidikan sentiasa bersiap sedia untuk melakukan yang terbaik selari dengan peranannya yang sangat penting untuk memastikan mutu pendidikan di negara ini tidak terjejas akibat pandemik tersebut. – MalaysiaGazette