Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih dua juta individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi perkara itu pada laman Facebook memuat naik data daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV).

Berdasarkan maklumat pada data berkenaan, seramai 2,024,356 individu sudah mendaftar di MySejahtera setakat pukul 3 petang semalam.

Mengenai perkembangan individu yang menerima vaksin, sebanyak 112,914 suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sudah diagihkan setakat semalam.

Berdasarkan data JKJAV yang dikongsi Dr Noor Hisham di laman media sosialnya, Sarawak merupakan negeri tertinggi dalam pengagihan vaksin setakat ini apabila merekodkan 14,855 dos suntikan.

Ia diikuti Kelantan (11,680), Kuala Lumpur (11,266), Pahang (10,599), Perak (9,892), Selangor (8,899), Johor (8,802), Sabah (6,229) dan Kedah (5,306).

Pulau Pinang pula mengagihkan 5,052 dos disusuli Negeri Sembilan (4,864), Terengganu (4,572), Melaka (4,312), Putrajaya (2,290), Perlis (2,223) dan Labuan (2,073).

PICK yang bermula 24 Februari lalu terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama menyasarkan pemberian vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa kedua dijangka bermula pada April hingga Ogos ini dengan menyasar kita-kira 9.4 juta warga tua berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko.

Fasa terakhir dijangka bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dengan sasaran kira-kira 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk agihan kepada warga asing. – MalaysiaGazette