senior citizens second booster dose Malaysia adult Covid-19 vaccination children (Picture for representational purposes only). A healthcare worker preparing the Pfizer - BioNTech Covid-19 vaccine shots for the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) at MAEPS Serdang, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 05 MARCH 2021. US FDA approves children 5 years-old
(Picture for representational purposes only). A healthcare worker preparing the Pfizer - BioNTech Covid-19 vaccine shots for the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) at MAEPS Serdang, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 05 MARCH 2021.

SETELAH lebih setahun COVID-19 muncul, wabak ini telah menjangkiti lebih 100 juta orang dan menyebabkan lebih 2.5 juta kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, jumlah kes COVID-19 naik mendadak semenjak Disember 2020. Setakat 3 Mac 2021, jumlah kes adalah lebih 300,000 dan kematian seramai 1,148 orang. Walaupun jumlah kes semakin meningkat di seluruh dunia, namun kehadiran vaksin memberikan harapan bahawa COVID-19 akan berkurangan atau lenyap tidak lama lagi.

Kebanyakan negara seperti England, Amerika Syarikat, Qatar dan Singapura telah mula
memberikan suntikan vaksin COVID-19 sejak bulan Disember 2019. Kajian klinikal menunujukkan keberkesanan vaksin adalah sekitar 70 hingga 95 %. Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa 26.5 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat
daripada pemberian vaksin COVID-19 secara percuma, Fasa pertama yang melibatkan barisan harapan telah bermula pada 24 Febuari 2021, manakala fasa kedua untuk golongan rentan bermula bulan April hingga Ogos 2021.

Manakala, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas akan mendapat vaksin selewat-lewatnya pada Febuari 2022. Setelah semua fasa selesai, dijangkakan kira-kira 70%
rakyat Malaysia akan mempunyai imuniti terhadap COVID-19. Angka 70% adalah penting untuk mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19. Justeru semua rakyat Malaysia yang layak perlu mendapatkan vaksin supaya mereka dapat melindungi golongan lain yang tidak menerima vaksin, contohnya kanak-kanak.

Pada penghujung Disember 2020, kami telah menjalankan soal selidik untuk menentukan
pengetahuan, penerimaan dan persepsi masyarakat Malaysia terhadap vaksin COVID-19. Kajian yang dijalankan secara maya ini melibatkan 1406 responden. Secara keseluruhannya, majoriti mempunyai pengetahuan lemah tentang vaksin, lebih satu pertiga menerima vaksin dan kebanyakkan responden mempunyai persepsi positif terhadap vaksin.

Lebih separuh daripada responden tidak mempunyai pengetahuan yang baik tentang vaksin. Ramai yang tidak tahu bahawa sesetengah vaksin menggunakan bahan genetik sebagai bahan aktif dan vaksinasi boleh menyumbang kepada imuniti kelompok. Malah ada yang mengaanggap bahawa vaksin COVID-19 juga boleh melindungi mereka daripada jangkitan virus influenza.

Informasi mengenai vaksin mula bertebaran di media massa dan media sosial bermula pertengahan tahun lepas apabila vaksin mula memasuki fasa percubaan klinikal. Setelah Pfizer dan Moderna mengumumkan keberkesanan vaksin keluaran mereka pada awal Disember 2020, lebih banyak informasi dikongsi di laman sosial dan media massa.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga dilihat aktif berkongsi informasi berkaitan vaksin di Facebook rasminya. Persoalannya ialah, di manakah silapnya? Mengapa
masih ramai yang belum faham tentang vaksin? Adakah maklumat yang diberikan terlalu sukar untuk difahami? Atau adakah masyarakat lebih terpengaruh sumber tidak sahih berbanding Kementerian Kesihatan? Satu mekanisma yang berkesan perlu difikirkan supaya rakyat faham tentang vaksin.

Hanya 64.5% responden bersetuju untuk menerima vaksinasi. Angka ini agak membimbangkan kerana kesemua responden berumur lebih 18 tahun dan secara amnya layak untuk divaksinasi. Jika tidak ramai yang sanggup divaksinasi, usaha untuk mencapai imuniti kelompok tidak akan kesampaian.

Antara sebab penolakan vaksin ialah mereka ragu-ragu tentang status halal vaksin, tidak
yakin dengan pembuatan vaksin yang terlalu cepat dan bimbang mengenai kesan jangka panjang vaksin. Isu halal sepatutnya tidak menjadi isu kerana para alim ulama di seluruh dunia termasuk Menteri Agama telah menyatakan bahawan vaksin COVID-19 adalah harus.

Ini berpandukan kepada konsep Maqasid Syariah untuk memelihara nyawa. Pembuatan vaksin secara cepat pula adalah disebabkan oleh kemajuan teknologi terkini, pengetahuan sediada tentang virus corona (SARS dan MERS) dan keadaan pandemik yang mendesak menyebabkan pihak-pihak tertentu sanggup mengeluarkan dana yang banyak bagi membantu penghasilan vaksin.

Kebanyakan responden mempunyai persepsi positif terhadap vaksin COVID-19. Ramai yang percaya bahawa mereka berisiko untuk dijangkiti dan boleh juga menjangkiti orang lain. Tetapi ada juga yang masih percaya bahawa jangkitan COVID-19 hanyalah satu propaganda.

Selain itu, perlu ditekankan bahawa kadar pengetahuan yang rendah dan penerimaan yang rendah terhadap vaksin adalah melibatkan responden yang lebih berumur, mempunyai penyakit kronik dan berpendapatan rendah. Langkah-langkah proaktif dan inovatif perlu diambil untuk meningkatkan pemahaman dan penerimaan vaksin dalam kalangan golongan ini.

Pakar-pakar daripada pelbagai pihak seperti daripada universiti tempatan, badan kerajaan yang lain, pertubuhan bukan kerajaan serta organisasi swasta perlu berganding bahu bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan benar mengenai vaksin, agar pengetahuan dan kesedaran di
kalangan rakyat Malaysia menjadi bertambah baik, seterusnya meningkatkan penerimaan vaksin COVID-19.

Nurul Azmawati Mohamed 
Pakar Mikrobiologi Klinikal &

Hana Maizuliana Solehan
Pakar Perubatan Dalaman
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia