ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seorang remaja yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati di kaki lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang Utara di sini hari ini.

Insiden melibatkan lelaki berusia 17 tahun itu mengejutkan penduduk selepas menemui mangsa kira-kira pukul 4 pagi, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

“Mangsa merupakan seorang pelajar SPM yang tinggal di Jinjang Selatan dan datang ke PPR Jinjang Utara untuk melawat rakannya sebelum dipercayai jatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di PPR di Jinjang Utara.

“Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak di laluan pejalan kaki di bawah PPR tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa, pihak polis mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya lagi.

Polis mengklasifikan kes sebagai mati mengejut dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis.-MalaysiaGazette