Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 pada tahun 2018 adalah sangat rapuh, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kemenangan itu disebabkan rakyat tertipu dengan manifesto dan janji yang dikemukakan PH bagai permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu yang mudah dilupakan.

Namun, katanya, PH tidak salah menjanjikan sedemikian rupa kerana itu semua bukan kitab suci.

“Kalau kita suci sekalipun boleh disanggah, apatah lagi manifesto dan janji hendak menurunkan harga minyak dalam tempoh kurang 24 jam, menghapuskan tol dan banyak lagi.

“Malah beberapa peristiwa perundangan berlaku, antaranya seperti usaha untuk membebaskan pemimpin tertentu laksana lampu Aladdin yang memanggil jin untuk dilakukan dengan cepat.

“Lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain. Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya,” katanya menerusi Minda Presiden yang dimuatnaik menerusi Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi bagaimanapun, bersyukur kerana kerajaan PH tumbang dan diganti dengan Perikatan Nasional (PN) yang berusaha memperbetulkan segala kepincangan dilakukan sepanjang 22 bulan memerintah.

Kini, katanya, sudah genap setahun PN memerintah negara tercinta ini yang memulakan . langkah dengan bismillah selepas sahaja selesai PRU14, bukan sekadar beberapa minit ketika berada di Sheraton sepertimana diberikan nama oleh sebahagian pihak.

Menurut beliau lagi, PH juga telah menunjukkan kegelojohan untuk menentukan kerusi siapa akan menjadi Perdana Menteri, laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar dan masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri selepas beberapa hari pilihan raya berlalu.

“Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari, sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja.

“Kedudukan pakatan politik mereka rapuh, laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak.

“Bahkan, sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” katanya.

Kata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Pas yang sudah lama menjadi pembangkang dan terlalu biasa dengan sepak terajang politik, bukan seperti kebanyakan komponen parti dalam PH yang baru belajar politik setahun jagung.

“Inilah barangkali menyebabkan mereka hanya baru menyedari dan nampak Langkah Sheraton yang sangat pendek.

“Perubahan kerajaan PH kepada kerajaan PN dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang.

“Ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera, dan tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas,” ujarnya.

Kata Abdul Hadi, apa yang berlaku adalah perubahan secara bersih, cuma sukar untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh PH dalam beberapa tahun apabila mereka membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek. – MalaysiaGazette