JURU – “Tiada siapa yang datang menjenguk atau menghulurkan bantuan untuk memastikan institusi Islam ini tidak gulung tikar ketika negara berdepan pandemik Covid-19”.

Itu luahan Pengerusi dan Mudir Pondok Turath Islam, Ahmad Tajudin Abu Bakar yang terpaksa menggeluarkan wang dana pondok yang sedia ada bagi membiayai kos operasi serta gaji guru sekolah pondok terbabit.

Ahmad Tajudin.

Katanya, hampir setahun dia membiayai semua kos tersebut memandangkan tiada yuran diambil daripada pelajar pondok berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berkuatkuasa Mac tahun lalu.

“Memang sesi pembelajaran dibuat secara online tetapi saya tidak sampai hati untuk mengambil yuran kerana saya tahu ibu-bapa pelajar berkenaan memerlukan wang memandangkan mereka turut terkena tempias Covid-19.

“Tiada pihak yang fikir apa nasib guru serta pengurusan sekolah pondok sebaik kerajaan umum tiada sesi persekolahan sedangkan kos selenggara serta gaji guru yang mengajar di sini perlu dibayar agar sesi persekolahan akan datang tidak mengalami sebarang cacat-cela.

Ahmad Tajudin (kiri) ketika menerima kunjungan Afifi (tengah) di Pondok Turath bagi melihat keadaan serta masalah yang dihadapi pihak pengurusan pondok berkenaan.

“Sebelum ini, kami kenakan yuran RM280 terhadap setiap pelajar dan ia merangkumi kos tempat tinggal, makan serta utiliti. Bagaimanapun, akibat PKP semua perbelanjaan kos pengurusan berjumlah RM13,000 ditanggung menggunakan dana pondok yang sedia ada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sukarelawan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Muhammad Zikri Zulkifli, Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan bagi mendengar masalah yang dihadapi sekolah pondok berkenaan.

Mengulas mengenai bantuan yang diperoleh dalam tempoh PKP, Ahmad Tajudin mendakwa hanya mendapat bantuan secara one-off daripada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang berjumlah RM10,000 namun tidak mencukupi.

“Memang kami bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan tetapi bantuan itu tak cukup untuk menanggung kos operasi sebulan apatah lagi duit itu diberikan bagi membiayai kos setahun.

“Sudah 11 tahun sekolah pondok ini beroperasi dan ketika pemerintahan terdahulu iaitu sehingga tahun 2018 saja kami mendapat dana untuk terus memajukan institusi ini.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, jangan simpan peruntukan yang sepatutnya diberikan untuk sekolah pondok kerana ia memanfaatkan ramai pelajar pendidikan Islam,” ujar Ahmad Tajudin.

Sekolah pondok Turath di Juru menempatkan kira-kira 100 pelajar berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun.

Selain itu, pondok berkenaan turut didiami warga emas yang ingin menimba ilmu tatkala di usia senja. – MalaysiaGazette