Siti Khatijah

KUALA LUMPUR – Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud yang ditemui mati dengan kesan jerut di lehernya dikatakan tidak ke tempat kerja sejak Jumaat lalu.

Ketidakhadirannya ke tempat kerja tidak dimaklumkan menyebabkan beliau dicari oleh rakan-rakan sekerja.

Menurut sumber, bagaimana kehilangan beliau terjawab apabila dimaklumkan tentang penemuan mayat Nik Khatijah antara jam 10 hingga 11 pagi tadi di kediamannya di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang

“Kematiannya memang mengejutkan. Dia hilang sejak Jumaat, tidak tahu ke mana pergi. Ada kakitangan ke rumahnya tetapi pintu berkunci.

“Setakat ini kami masih menunggu keputusan punca kematian Allahyarham. Kami dimaklumkan bedah siasat akan dilakukan untuk mengesahkan kematian.

”Lain-lain maklumat tidak dimaklumkan,” kata sumber itu.

Katanya, Nik Khatijah yang berkhidmat kira-kira lapan tahun bersama Ikram masih bujang dan berasal dari Terengganu.

Difahamkan Allahyarham menetap di rumahnya seorang diri.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan mayat Nik Khatijah terdapat kesan jerut pada leher.

“Mangsa dipercayai telah mati lebih daripada 24 jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan bunuh dan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-MalaysiaGazette

Wanita mati dijerut merupakan Pengurus Jabatan Advokasi IKRAM