KUALA LUMPUR – Pastinya Hari Wanita Sedunia membawa seribu satu makna kepada pengarah terkenal, TS Dr Vimala Perumal.

Lebih-lebih lagi apabila suaminya yang juga pelakon terkenal merangkap Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Denes Kumar juga berkongsi impian serta minat terutamanya dalam dunia seni.

Terbaharu pasangan itu melalui produksi mereka, Veedu Production telah menghasilkan 13 episod program bual bicara Pengirl Rock bagi siaran Astro Vanavil yang hanya memfokuskan kepada pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek.

Menariknya, beberapa hari lepas lagu tema untuk Pengirl Rock  telah dilancarkan hasil idea penyanyi rap terkenal, Yogi B telah mendapat respon positif terutama kepada peminat rap Tamil.

Lagu nyanyian oleh Yogi B sendiri, liriknya pula digarap oleh Denes, Yuwaji dengan muzik hasil Shameshan Mani Maran.

Mengulas mengenainya, Vimala mengakui dirinya teruja kerana ia pengalaman pertama dalam menghasilkan rancangan temu bual.

“Pastinya sebagai seorang wanita lagi berjiwa seni serta kental dalam mengharungi kehidupan ini, saya mahu berterusan berkarya dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

“Itulah dia Pengirl Rock ini, sejak lagu temanya diperdengarkan kepada umum, ramai sudah seperti tidak sabar-sabar untuk menonton sendiri semua episod, saya sendiri berdebar.

“Sempena Hari Wanita Sedunia, saya dan Denes memang sudah merancang untuk mendedikasikan sesuatu yang mampu mendapat inspirasi kepada semua terutamanya golongan wanita.

“Itulah intipati Pengirl Rock ini, semua yang berkaitan dengan hawa di negara ini, apakah sebenarnya cerita di sebalik mereka dan bagaimanakah generasi akan datang dapat inspirasi termasuklah diri saya sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Vimala yang sudah berbelas tahun bergelumang dengan dunia seni malah bergelar pensyarah kanan di Multimedia Universiti (MMU) dan banyak kali menang pelbagai anugerah berprestij namun menganggap pengalaman pertama menghasilkan siri talk show menyebabkannya rasa teruja.

“Bayangkan melalui talk show, kita bukan sahaja banyak menengahkan isu wanita sebaliknya juga berkesempatan bercakap dengan mereka melalui pertemuan empat mata untuk penonton.

“Mendengar mereka bercakap itu sendiri banyak memberikan sumber inspirasi yang mahal harganya buat saya serta semua terlibat dengan Pengirl Rock ini. Nanti anda juga akan dapat saksikan sendiri apabila ianya ke udara minggu depan,” ujarnya.

Jelas Vimala, selain berbicara pemerkasaan wanita serta mengupas pelbagai topik menarik mereka juga akan menampilkan koleksi fesyen kepada penonton.

“Kita ada menampilkan pereka fesyen yang akan mempamerkan koleksi indah dan perkongsian tips fesyen kepada penonton.

“Juga selebriti tempatan yang akan berkongsi pandangan peribadi mereka mengenai topik tertentu, tetamu dalam kategori golongan profesional yang akan memberi nasihat serta pencerahan kepada penonton mengenai topik tertentu.

“Ianya juga pasti berwarna warni dengan persembahan wanita dari tetamu selebriti, juga kehadiran tetamu kehormat yang pernah mencipta sejarah di negara ini.

“Lagi saya rasa menarik apabila program ini juga akan menemuramah tetamu undangan lelaki yang kami percaya insan disebalik kejayaan seorang wanita atau tokoh itu, ini juga akan jadi dorongan kepada yang lain,” katanya.

Sambung Vimala lagi, pada dasarnya Pengirl Rock memberi inspirasi dan harapan kita berusaha menuju ke arah komuniti dan negara yang positif.

Pengirl Rock bakal ditayangkan pada 19 Mac ini pukul 9 malam selama 13 episod di Astro Vanavil dengan di hoskan oleh Revathy Mariappan. – MalaysiaGazette