Ahmad Zahid salah seorang daripada pemimpin UMNO yang kini dalam proses perbicaraan kes di mahkamah selain bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pindaan pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika pindaan pertuduhan itu bacakan jurubahasa.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Tidak mengaku salah. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan pendakwaan meminda pertuduhan ke-27 bagi kes pengubahan wang haram yang dihadapi Ahmad Zahid.

Pindaan itu melibatkan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300.20 keping 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.20.

Collin kemudian mengarahkan pindaan pertuduhan itu dibacakan semula kepada Ahmad Zahid yang kemudian mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid didakwa melakukan pengubahan wang haram,iaitu membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya.

Cek itu kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Ahmad Zahid di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac dan 15 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.

Sejurus selepas pertuduhan itu dibaca mahkamah menyambung prosiding yang masuk hari ke-49. -MalaysiaGazette