Gambar hiasan

DALAM dunia kerjaya dan kehidupan, wanita menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan ekosistem kehidupan berjalan lancar. Hal ini selaras dengan tema hari wanita pada tahun ini iaitu “wanita bangkit menghadapi cabaran”. Cabaran wanita dalam kerjaya datang dari segenap aspek. Beberapa cabaran yang sering dihadapi wanita dalam perkembangan kerjaya adalah masalah bias gender, masalah proses sosialisasi, kurang atau ketiadaan model peranan, ekspektasi kejayaan yang rendah, kepercayaan tentang kecekapan wanita dalam kerjaya bukan tradisional, konflik peranan, gangguan seksual, imej wanita, kurang sokongan dan diskriminasi di tempat kerja.

Masalah yang disebut boleh dikategorikan sebagai masalah semasa yang
seringkali berlaku sama ada di peringkat persekolahan, di peringkat pengajian tinggi dan juga semasa bekerja. Oleh itu, kaunseling kerjaya dilihat dapat membantu perkembangan kerjaya wanita dalam semua tahap perkembangan mereka.

Di Malaysia, saban tahun bilangan wanita yang menceburkan diri dalam pelbagai bidang
pekerjaan dilihat semakin meningkat. Jika dilihat dari statistik tahun-tahun terdahulu, penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat dari 37.2 peratus pada tahun 1970 kepada 46.7 peratus pada tahun 1990 dan kepada 56 peratus pada November 2019. Sementara itu, statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita pada suku pertama 2020 adalah 55.8 peratus di peringkat nasional, turun 0.3 mata peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

Penurunan yang berlaku ini adalah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan penularan wabak COVID-19. Namun begitu, sehingga kini wanita merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh di negara kita. KPTB
wanita tertinggi dalam pasaran buruh adalah bagi kumpulan umur 25 hingga 34 tahun (75.4%) dan diikuti oleh kumpulan umur yang lain.

Berikutan peningkatan KPTB wanita ini, maka timbullah peningkatan keperluan kepada
perkhidmatan kaunseling kerjaya yang khusus untuk wanita. Kaunseling kerjaya yang khusus untuk membantu perkembangan kerjaya wanita harus dilihat sebagai suatu proses berterusan yang diberikan semasa mereka berada di peringkat persekolahan sehinggalah mereka menceburkan diri dalam dunia pekerjaan. Program kaunseling dan bimbingan kerjaya harus bermula dari awal perkembangan kehidupan seseorang wanita kerana kaunseling kerjaya merupakan batu asas bagi perkembangan kerjaya dan kehidupan mereka.

Malah perkembangan kerjaya dan kehidupan merujuk kepada perkembangan kendiri seumur hidup melalui interaksi dan integrasi peranan, latar belakang dan kejadian di dalam kehidupan. Oleh itu, perkhidmatan kaunseling seharusnya seiring dengan perkembangan kehidupan seseorang wanita. Di peringkat tadika, sekolah dan universiti, guru bimbingan dan kaunseling serta kaunselor harus memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kesedaran kerjaya golongan wanita.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab dalam memperkenalkan serta mendedahkan
kemahiran asas diri yang diperlukan sebagai wanita yang berjaya. Bahkan, guru-guru juga boleh membantu memberikan kesedaran tentang dunia pekerjaan atau maklumat kerjaya. Di samping itu, aktiviti kerjaya boleh dijalankan bagi membantu wanita mengenali diri khususnya dari segi minat, keupayaan, bakat istimewa serta kekuatan yang ada pada mereka. Kesedaran tentang kekuatan serta bakat yang ada pada mereka harus dipupuk supaya berkembang dan berpotensi tinggi untuk berjaya pada masa hadapan.

Misalnya, dalam program-program kaunseling, kaunselor harus membantu merasionalisasikan semula pelajar ke arah peranan yang lebih meluas dan tidak terikat dengan fungsi tradisional golongan wanita yang hanya layak duduk di dapur
atau mempelopori pekerjaan tertentu sahaja. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar perempuan lebih baik prestasi akademiknya di peringkat persekolahan. Justeru, bilangan mereka lebih tinggi daripada pelajar lelaki di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Namun begitu, pelajar perempuan dilihat lebih cenderung untuk memilih bidang perguruan kerana berpendapat bahawa bidang perguruan mampu memberikan mereka peluang untuk menjalankan tugas sebagai ibu dan isteri.

Mereka mengelak daripada bidang bukan tradisional seperti kejuruteraan kerana menganggap bentuk kerja tersebut tidak mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan tuntutan kerja seperti itu menghalangnya untuk menjalankan tugas sebagai ibu dan isteri.
Kaunselor kerjaya perlu membantu pelajar membuat penilaian terhadap persekitaran kerja. Dengan cara ini, mereka boleh meningkatkan kesedarannya terhadap ganjaran dan juga status pekerjaan yang ingin diceburi. Seterusnya, pelajar boleh dibantu untuk memilih dan membuat perancangan berdasarkan kehendak, minat, keupayaan serta tawaran pekerjaan dalam dunia pekerjaan.

Malah, mereka juga boleh didedahkan kepada aktiviti-aktiviti wanita yang berjaya
supaya dapat menghapuskan pemikiran yang lama. Misalnya, pelajar perempuan boleh
didedahkan kepada model peranan iaitu model-model wanita yang berjaya dalam pelbagai
bidang pekerjaan khususnya dalam bidang bukan tradisional. Mereka juga perlu memahami hakikat bahawa terdapat ramai wanita yang berjaya sebagai pemimpin dalam pelbagai sektor dalam dan juga luar negara.

Dengan cara ini, kaunseling kerjaya dapat menghapuskan bias gender, menghapuskan sikap takut kepada kejayaan dan meningkatkan efikasi kendiri terhadap kejayaan dalam pelbagai bidang pekerjaan. Sekaligus, pelajar dapat mengidentifikasikan diri
dengan pekerjaan-pekerjaan yang pelbagai. Kaunseling kerjaya perlu menghapuskan persepsi bahawa wanita tidak mampu menjadi ibu dan isteri yang berjaya jika menjawat jawatan tinggi.

Wanita yang menghadapi konflik ini boleh dibantu dengan menunjukkan model-model wanita yang bekerjaya dan pada masa yang sama mempunyai keseimbangan dalam kehidupan berumahtangga (work life balance) sebagai isteri dan ibu yang berjaya. Manakala, bagi wanita yang telah bekerja dan mengalami konflik, mereka perlu diberi kaunseling untuk meningkatkan kekuatan diri serta melatih mereka untuk menguruskan masa. Kursus pengurusan masa boleh diberi bagi membolehkan golongan wanita menguruskan masa dengan baik bagi mengelakkan daripada mengalami tekanan yang tinggi.

Syukurlah kerajaan Malaysia juga turut prihatin dalam aspek perkembangan kerjaya wanita. Dengan inisiatif pihak kerajaan, sebanyak 130 syarikat milikan wanita telah menyertai Women Exporters Development Programme (WEDP) di bawah MATRADE yang bertujuan untuk membantu usahawan wanita dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menembusi dan mengembangkan pasaran eksport di luar negara.

Selain itu, terdapat lebih 6 ribu peserta wanita yang menyertai program kemahiran I-KeuNita WANITA (I-KeuNITA) atau DeWI (Development of Women Entrepreneurship Initiative Programme) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang bertujuan untuk membantu meningkatkan potensi wanita untuk berdikari memperbaiki ekonomi selepas memperoleh kemahiran melalui latihan yang dijalankan di setiap Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN).

Kesimpulannya, wanita adalah tunjang keluarga dan negara di mana peranan mereka dilihat sebagai signifikan dalam mengurus-tadbir organisasi, keluarga mahupun negara. Penglibatan wanita dalam pembentukan polisi, percaturan politik negara dan kerjaya utama yang membantu ekonomi memperlihatkan bahawa wanita boleh menyumbang kepada aspek pembinaan negara-bangsa. Perkhidmatan kaunseling kerjaya merupakan saluran untuk membantu perkembangan kerjaya dan diri wanita dalam mendepani arus cabaran semasa. Justeru, perkhidmatan kaunseling kerjaya bagi golongan wanita haruslah diperluaskan lagi kefungsiannya agar semua golongan wanita di Malaysia mendapat manfaat darinya.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).