Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jamĀ  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengenalpasti sembilan kluster baharu Covid-19.

Enam daripadanya melibatkan tempat kerja, dua berkaitan komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada sembilan kluster itu, dua kluster dari Johor dan Kuala Lumpur manakala satu kluster masing-masing di Selangor, Pulau Pinang, Johor serta Kedah.

Antaranya Jalan Nusa Mega Johor; Jalan Industri A1 Johor; Tapak Bina Jalan U-Thant Kuala Lumpur, Tapak Bina Jalan Salak Kuala Lumpur, Lorong Kilang Selangor, Medan Bayan Lepas Pulau Pinang, Sungai Lembing Pahang, Jalan Setia Jaya Johor dan Amanjaya Kedah.

Menurut Noor Hisham, Kluster Lorong Kilang melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 6 Februari 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Lorong Kilang, Petaling Jaya.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 419 individu telah disaring, di mana 41 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Kluster Jalan Nusa Mega pula melibatkan daerah Johor Bahru di Johor dan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 4 Mac lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Mega 1, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Johor Bahru.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 182 individu telah disaring, di mana 36 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Selain itu, Kluster Jalan Setia Jaya iaitu kluster komuniti melibatkan daerah Batu Pahat di Johor.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-314, 352) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah majlis keraian yang berlangsung di Jalan Setia Jaya Utama, Batu Pahat. Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 56 individu telah disaring, di mana 28 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Satu lagi kluster baharu di Johor iaitu Kluster Jalan Industri A1 melibatkan daerah Tangkak di Johor.

Sebanyak empat kes awal bagi kluster ini (iaitu kes ke-309,294, kes ke-309,295, kes ke-309,296 dan kes ke-309,297) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Mac lalu hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

“Kluster ini melibatkan sebuah kilang terletak berdekatan Jalan Industri A1, Muar. Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 31 individu telah disaring, di mana 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Di samping itu, Kluster Medan Bayan Lepas pula melibatkan daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 26 Februari lalu hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Medan Bayan Lepas, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Barat Daya.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 428 individu telah disaring, di mana 65 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Tapak Bina Jalan U-Thant, ia melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan U-Thant, Titiwangsa.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 158 individu telah disaring, di mana 35 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Satu lagi kluster baharu di Kuala Lumpur dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Salak melibatkan kawasan Lembah Pantai.

“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 8 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan Salak Selatan, Lembah Pantai.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 29 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi kluster baharu di Kedah pula, ia dikenali sebagai Kluster Amanjaya membabitkan kumpulan berisiko tinggi melibatkan daerah Kuala Muda, Pendang, dan Yan.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-295,830) dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Februari lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat perubatan yang terletak di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani. Sehingga 9 Mac lalu dan sejumlah 61 individu telah disaring di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi kluster baharu kesembilan yang dikenalpasti hari ini iaitu Kluster Sungai Lembing yang melibatkan daerah Kuantan di Pahang merupakan kluster komuniti.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-305,866) dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Sungai Lembing, Kuantan.

“Sehingga 9 Mac 2021, sejumlah 135 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette