Ng Ah Leak (kanan) dituduh mendatangkan kecederaan terhadap seekor anjing jalanan.

BUTTERWORTH – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendera seekor anjing jalanan hingga menyebabkan kecederaan pada bawah mata kiri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ng Ah Leak.

Tertuduh, Ng Ah Leak,75, minta dibicara selepas pertuduhan terhadapnya dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia dakwa secara tidak munasabah menjolok seekor anjing betina berwarna putih dengan sebatang buluh kuning sepanjang 2.4 meter hingga menyebabkan kecederaan pada bawah mata kiri haiwan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 24 Oktober 2020 kira-kira jam 10.30 malam ketika anjing berkenaan berada di dalam longkang belakang rumah bernombor 2, Jalan Tanjung Indah, Taman Tanjung Indah, Raja Uda di sini.

Pegawai veterinar membawa barang kes iaitu buluh kuning yang digunakan tertuduh untuk mencederakan anjing berkenaan.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada 100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Anjing betina yang dicederakan tertuduh turut dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, anjing yang menjadi mangsa serta barang kes turut dibawa ke mahkamah oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Roziman Awang Tahrin manaka tertuduh pula diwakili peguam Lim Jin Hong.

Hakim menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette