KUALA LUMPUR – Perkahwinan Hannah Delisha dengan Imam Shah baru-baru ini menjadi kontroversi apabila dikatakan tidak mendapat restu daripada ibu pelakon wanita itu.

Selepas berdiam diri, Hannah atau Hannah Adlina Blackburne Birch tampil membuat kenyataan di Insta Story miliknya.

Beliau mengakui seperti orang lain, dirinya tidak lari daripada mempunyai masalah peribadi.

“Saya minta maaf atas perhatian yang tidak diingini buat masa ini. Ya, seperti orang lain saya juga mempunyai masalah peribadi dan saya minta maaf kerana ia tersebar kepada umum.

“Apabila saya mula memasuki industri ini, tujuan saya hanya mahu menghiburkan anda semua menerusi kerja hasil kerja seni dan bukan berkenaan kisah peribadi. Saya cuba menghindari gosip sejauh yang mungkin dan membawa nama negara dengan bermaruah,” tulisnya.

Hannah turut memohon maaf kerana berita yang ‘tidak menyenangkan’ tentang keluarganya tersebar.

“Sekali lagi, saya memohon maaf atas berita yang tidak menyenangkan tentang diri saya atau keluarga.

“Anda semua berhak mendapat yang lebih baik daripada saya. Saya mengharapkan doa anda semua buat kami,” tambahnya.

Hannah dan Imam mendirikan rumah tangga pada 18 Februari lalu setelah lima tahun menjalinkan hubungan. MalaysiaGazette