Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan berkata sikap berdiam diri kerajaan mendatangkan rasa bimbang kepada umat Islam di negara kita.

“Berdasarkan realiti dan situasi semasa, pihak berkuasa perlu menetapkan larangan yang tegas berhubung penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

“Isu ini jika tidak difahami dengan mendalam, boleh menimbulkan kekeliruan dalam pemahaman masyarakat khususnya umat Islam sebagai umat majoriti di Malaysia sekaligus menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai Agama Negara dan Agama Negeri serta menggugat keamanan dan toleransi antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahir mengulas mengenai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Nor Bee Ariffin yang membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Tegas Shahir, perkataan Allah adalah kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan Tuhan sekalian alam yang disembah oleh umat Islam.

“Ia adalah lafaz al-Quran dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam apa-apa bahasa.

“Pemahaman terhadap nama Allah mestilah seperti yang ditegaskan dalam akidah Islam, sesuai dengan landasan iman dan bebas daripada salah tafsir atau unsur syirik yang menyekutukan Allah,” katanya lagi.

Semalam, Hakim Nor Bee berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3,8,11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan antara warganegara antara lain atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undan-undang.

Hakim itu membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan. – MalaysiaGazette