Kementerian Dalam Negeri mennyatakan komitmen menangani isu rakyat malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan buku agama mereka untuk pendidikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan susulan itu akan diputuskan selepas pihaknya menerima alasan penghakiman secara bertulis dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Dalam Negeri mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 berkaitan isu kalimah “Allah” dan hal-hal lain yang telah dibawa oleh Jill Ireland Lawrence Bill terhadap KDN,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Hamzah  menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan menghormati proses perundangan serta kehakiman negara.

Semalam Mahkamah Tinggi turut memutuskan penganut Kristian di seluruh negara juga dibenar menggunakan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Kebenaran itu diputuskan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Jill Ireland antara lain memohon perisytiharan hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam hak mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan tersebut mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam dan ada yang menggesa kerajaan membuat rayuan terhadap kes tersebut. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tak sabar rasanya nak tahu apa alasan penghakiman secara bertulis dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur?

    Adakah penghakiman tersebut selari dengan pemahaman alim ulama Islam dunia dari Arab Saudi, Mesir, Al Azhar, Turkey, Yaman, Syria atau negara2 Islam lain berkenaan Islam?

    Islam itu sifatnya UNIVERSAL!

  2. Mahkamah ala pancasila indon bisa toleransi pelbagai agama macam adik-beradik dalam keluarga besar Malaysia dong.

Comments are closed.