Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) hari ini menggesa Kerajaan Persekutuan membawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam ke Mahkamah Rayuan.

MN dalam satu kenyataan memandang serius perkara itu lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

“MN mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat MN malam ini menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya kenyataan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Perundingan MN, malam ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan bahawa penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam permohonannya, Jill Ireland antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak Perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 yang melarang kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Sementara itu, MN turut menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara.

“Mesyuarat pada hari ini juga mahu pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dalam penerbitan – Mahkamah Tinggi

1 Komen

  1. Keluarga besar Malaysia seperti adik-beradik pelbagai budaya, bahasa, dan agama bisa praktek pancasila indonpreet dan tambipreet dong.

Comments are closed.