Lokman Noor Adam UMNO
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan menghantar surat rayuan kepada presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi ahli semula.

Katanya, tindakan itu dibuatnya bagi membolehkan beliau terus bekerja untuk UMNO dan rakyat.

Ini, kata beliau, kali ketujuh menghantar surat permohonan untuk kembali menyertai UMNO selepas dipecat pada 7 Februari tahun lalu.

“Saya akan hantar surat permohonan ini dalam masa terdekat. Saya berharap Allah lembutkan hati Ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk menerima semula saya sebagai Majlis Tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lokman, beliau memilih untuk menyertai UMNO kerana hendak berkhidmat kepada rakyat.

Jelasnya, berdasarkan pengamatannya, hanya UMNO boleh mentadbir negara dengan baik dan membela nasib rakyat Malaysia.

“Selepas apa yang berlaku, saya tidak kecil hati. Saya hanya meluahkan apa yang saya rasa terbaik untuk selamatkan parti dari dihancurkan.

“Bukan saya tidak boleh mewujudkan parti saya sendiri tetapi jika pendekatan itu yang saya pilih, saya khuatir akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO. Jadi, saya akan merayu untuk masuk semula buat kali terakhir sebelum mencuba kaedah lain,” katanya.

Mesyuarat MT UMNO pada 7 Februari tahun lalu memutuskan memecat Lokman sebagai ahli kerana beberapa tindakan yang dianggap menyalahi etika parti.

Antara punca beliau dipecat kerana dikatakan cuba mencipta persepsi kononnya Ahmad Zahid bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan Pas.

Lokman berkata, sepanjang beliau berada di luar parti, ramai pemimpin UMNO memintanya supaya terus menyokong dan mengambil pendekatan untuk kembali semula kepada parti itu.

Mengikut Perlembagaan UMNO, kuasa menerima kembali seseorang itu sebagai ahli terletak kepada MT parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.