Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan rasuah, penggubahan wang haram serta pecah amanah yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus bersambung dengan saksi pendakwaan ke-98 memberikan keterangan hari ini.

Saksinya, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Christ Sheldon Anak Merunyang terlibat dalam penyiasatan kes itu mendedahkan kepada mahkamah bagaimana seorang penyumbang bertindak menderma sebanyak RM10 juta kepada Yayasan Akalbudi tanpa banyak soal.

Christ Seldon dipertanggungjawabkan untuk merakam percakapan penderma itu yang dipercayai dari Singapura yang juga Pengarah Chia Bee Enterprise Sdn Bhd. berkaitan dana yang diberikan olehnya menggunakan cek melalui Tetuan Lewis & Co.

Ahli perniagaan itu, Wong Sang Woo atau lebih dikenali dengan panggilan Paul itu bertemu dengan Ahmad Zaid yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri (KDN) dalam satu majlis makan malam.

Jelas Christ, Paul mendedahkan dirinya rasa ‘istimewa’ apabila seorang menteri yang kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) meminta supaya beliau menyumbang RM10 juta bagi tujuan amal jariah kepada Yayasan Akalbudi diasaskan oleh Ahmad Zahid.

“Ketika ditanya kepada ahli perniagaan mengapakah wang sebanyak itu disumbang, katanya beliau rasa istimewa seorang TPM meminta derma untuk tujuan amal malah sebagai dermawan, beliau hendak menderma atas kapasiti peribadinya. 

“Pada penghujung majlis makan malam itu, Ahmad Zahid ada memberitahu Paul akan ada seseorang dari pihaknya beliau kelak bagi tujuan derma tersebut.

“Paul turut memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan yang terlibat dalam dunia pelaburan saham, perniagaan kayu balak, pelaburan harta tanah, pakaian fesyen dan ejen penghantaran.

“Beliau kemudian telah dihubungi oleh seseorang pada sekitar awal 2016 bertanyakan tentang derma RM10 juta untuk Yayasan Akalbudi tersebut, pemanggil itu juga telah meminta menyediakan bayaran RM1 juta setiap cek kepada Tetuan Lewis & Co..

“Paul tidak berapa ingat siapakah yang telah menyuruhnya mengeluarkan cek-cek itu kerana dirinya tiada di Malaysia pada ketika itu tetapi semakan olehnya mendapati bayaran telah dibuat pada 21 April 2016,” kata Christ ketika di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pembelaan diketuai oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Dalam pada itu, Christ berkata, Paul tidak berkemampuan untuk menyediakan wang sejumlah itu pada kadar segera dan bertindak melakukan pinjaman RM10 juta idaripada KTS Holdings Sdn Bhd (KTS).

Pinjaman itu menerusi rakannya, mendiang Ngu Ngiong Hien dan ia tidak direkodkan dalam bentuk dokumen atas dasar persahabatan.

Dalam pada itu, semalam ketika saksi pendakwaan ke-96 juga pegawai SPRM yang menyiasat kes ini, Mohd Amirudin mendedahkan Paul ketika ini tidak dapat dikesan untuk memberikan keterangan berkaitan perkara itu di mahkamah.

Malah usaha untuk menjejakinya termasuk di syarikatnya di Sarawak juga gagal sementara rekod Jabatan Imigresen juga mendapati Paul tidak berada di negara ini ketika ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh menghadapi berdepan 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkaitan pelaksanaan sistem visa asing Malaysia yang belum mula perbicaraanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.