Dr. Aziz Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan lain lagi dalam penerbitan agama itu.

Naib Presidennya, Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Tahir menegaskan, keputusan itu sudah tentu memberi kesan sangat besar kepada umat Islam negara ini yang mana Islam adalah agama Persekutuan.

Katanya, umat Islam membantah penggunaan kalimah ‘Allah’ kerana tidak sama dengan tuhan trinity yang menjadi sembahan penganut Kristian.

“Mungkin ada beranggapan kalimah ‘Allah’ yang terdapat dalam Bible juga merujuk kepada tuhan yang sama. Allah dalam Islam merujuk kepada Tuhan Yang Esa sedangkan ‘Allah’ dalam Bible merujuk kepada tuhan trinity iaitu tuhan bapa, roh kudus dan Jesus. Sudah tentu tidak sama.

“Jadi, keputusan mahkamah itu sangat memeranjatkan seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah serta tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah.

Keputusan kes itu semalam mengambil masa selama 13 tahun dua bulan untuk diputuskan, sejak difailkan pada tahun 2008.

Terdahulu pada prosiding itu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Nor Bee dalam penghakimannya membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Aziz Jamaluddin, kelebihan penganut Kristian ialah mereka sangat bersatu dalam memperjuangkan penggunaan kalimah ‘Allah’ tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Sedangkan, masyarakat Islam terutama golongan pemimpin pula telah berjaya dipecahkan dan terbahagi kepada empat golongan iaitu yang mempertahankan kalimah ‘Allah’ tidak boleh diguna oleh pihak Kristian.

“Kedua, membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan dengan memberikan apa sahaja dalil yang membenarkan; ketiga, makin keliru dan tidak tahu mana yang benar kerana terdapat dua puak saling membenar dan tidak membenarkan.

“Manakala keempat, tidak peduli mengenai yang berlaku asalkan boleh hidup dengan senang dan mewah,” ujarnya.

Beliau berkata, umat Islam secara tidak langsung telah dipecahbelahkan kerana tidak bersatu atas satu platform yang kukuh.

Bagaimanapun, tegas beliau, belum terlambat untuk umat Islam membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Semua pemimpin Islam mesti bersatu dalam manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mempertahankan kalimah Allah dari digunakan oleh Kristian.

“Gunakan sahaja fasiliti dan kelebihan yang kita ada termasuk pengaruh dari Majlis Raja-Raja Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

“Putra menyeru kepada seluruh umat Islam bersama kami memperjuangkan isu ini. Kami akan berusaha mencari jalan dengan apa cara jua yang dibenarkan untuk berjuang supaya kalimah Allah ini tidak akan berjaya digunakan dalam kitab Bible mereka.

“Kami tahu permintaan mereka bukan untuk memudahkan penganut mereka menjadi lebih memahami kitab Bible, tetapi untuk menambahkan kekeliruan kepada masyarakat Muslim terutama generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kenapalah duduk berebut yang satu itu. Kenapa tidak cari hak milik sebenar dia hak siapa dan siapa hak dia. Berebut nama tuan nya tak tahu dimana.

  2. Syabas Portal Islam dan Melayu (ISMAWEB), Muafakat Nasional dan Putra! Anda nampaknya terkehadapan didalam membela penggunaan kalimah Allah ini, teruskan!

    Ketua2 agama Islam, ahli2 politik, negarawan2, hakim2 Islam yang lain entah kemana?

Comments are closed.