Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi minggu ini sebagai kejayaan besar bagi rakyat dan umat Islam negara ini.

Antara kejayaan itu ialah kerajaan mendapat tambahan 10,000 kuota untuk jemaah mengerjakan haji, sekali gus satu penghormatan besar kepada Malaysia.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad, pemberian itu ternyata sangat istimewa, kerana ketika ini Malaysia sudahpun memperoleh 31,600 kuota rasmi iaitu 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara sebagaimana diperuntukan kerajaan Arab Saudi.

Kata beliau, kurniaan oleh Raja Salman Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman melalui Muhyiddin itu menunjukkan kepercayaan kepada Malaysia.

“Ia juga menjadi pengiktirafan kepada operasi pengurusan haji yang dilaksanakan kerajaan Malaysia, khususnya Lembaga Tabung Haji yang terbukti memberikan hospitaliti terbaik sebagaimana pujian dan penghargaan pernah diterima selama ini.

“Kurniaan tambahan besar kuota ini juga tentunya datang dari kesungguhan rundingan yang diadakan oleh Muhyiddin sempena lawatan kerjanya ke Arab Saudi.

“Ini tentunya menjadi satu lagi catatan pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, yang mendapat keyakinan kerajaan Arab Saudi dalam urusan yang sangat besar bagi umat Islam ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di Riyadh semalam, media melaporkan, Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Muhyiddin dilaporkan berkata, perkara itu dipersetujui Putera Mohammed bin Raja Salman dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah petang semalam.

Pada masa sama, Putera Mohammed juga memberikan reaksi positif terhadap permintaan Malaysia bagi mendapatkan kuota haji tambahan apabila kerajaan Arab Saudi membuka sepenuhnya ibadat itu yang terjejas akibat pandemik.

Kamaruzaman berharap, ianya akan mengukuhkan lagi hubungan dua negara serta diperluaskan kepada sektor lain juga demi kepentingan ummah.

“Semoga dengan kurniaan ini, penghayatan ibadah dalam kalangan umat semakin meningkat dan dapat meraih keampunan serta limpahan keberkatan buat rakyat dan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Laaaa masa Najib dulu dapat juga tambahan 10k…apa yg kejayaan besar tu pun tak pasti laa

  2. wooww..
    kejayaan besar??
    masukkan dalam buku sejarah sekali,
    ko suka,ko puji,
    ko benci,ko hina,keluarkan fatwa haram terus,
    terbaik betul cara politik matang nie

Comments are closed.