Dr. Ronald Kiandee

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjaya meraih tujuh pencapaian besar sepanjang tempoh setahun lalu selepas kerajaan diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN).

Menerusi tujuh pencapaian itu, MAFI disifatkan setanding dengan kementerian-kementerian lain yang sama-sama berusaha keras dalam memastikan kehendak dan keperluan rakyat dapat dipenuhi.

Dalam hal tersebut, sudah pasti orang nombor satu yang mengemudi MAFI iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap fungsi kementerian agar matlamat yang kehendaki dapat dilestarikan dengan jayanya.

Menerusi satu temubual, Ronald yang merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kerjasamanya dengan rakan sepasukan iaitu Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Datuk Che Abdullah yang sama-sama menerajui kementerian berkenaan ketika ini.

Berkongsi kejayaan dan pencapaian-pencapaian tersebut, Ronald berkata, MAFI meletakkan agenda sekuriti makanan sebagai agenda nasional dengan tertubuhnya Jawatankuasa Kabinet Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab dalam meneliti isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh serta holistik dan ia merupakan jawatankuasa Kabinet yang pertama dibentuk di bawah kerajaan PN.   

Kedua, kata beliau, MAFI turut sedang membangunkan Sistem Profil Tanah Sawah Padi di seluruh negara dan pengurusan maklumat padi.

Katanya, maklumat profil tanah bagi keseluruhan 350,000 hektar pasel padi akan memudahkan penyediaan formulasi baharu baja bersubsidi serta membolehkan pemantauan keseluruhan rantaian nilai padi dan beras dilaksanakan secara atas talian.

“Ketiga, MAFI telah menambahbaik proses pengedaran benih padi sah dengan inisiatif-inisiatif yang baharu antaranya MAFI telah melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal dalam program inisiatif benih padi sah dan juga penetapan harga siling benih padi sah pada paras RM35 setiap beg.

Benih Padi Sah (IBPS) di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

“Inisiatif-inisiatif ini dapat mengelakkan manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang serta mengelak dominasi mana-mana pembekal tertentu terhadap pasaran benih padi sah secara khususnya, dan sektor padi dan beras secara umumnya. 

“Inisiatif ini memanfaatkan hampir 320,000 pesawah di seluruh semenanjung,” katanya.

Ronald memberitahu, pencapaian keempat pula, adalah pelaksanaan caruman Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi nelayan iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Kepada Nelayan yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

Seorang nelayan baru pulang dari mencari hasil laut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pulau Sebatik, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2020.

Jelasnya, seramai 42,000 nelayan menikmati perlindungan PERKESO yang dicarum daripada Elaun Sara Hidup Nelayan berkenaan.

Bagi pencapaian kelima, Ronald berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, elaun sara hidup nelayan juga telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan yang mana ia memanfaatkan lebih 40,000 nelayan dan elaun sara hidup nelayan darat dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 yang akan memanfaatkan kira-kira 3,400 nelayan.

Menjelaskan lanjut, Ronald memberitahu, dalam usaha mengurangkan kos sara hidup dan membantu menjamin keselamatan makanan terutamanya kepada golongan B40 di bandar dan pinggir bandar, MAFI telah melaksanakan Program Pertanian Kebuniti yang mendapat sambutan baik daripada rakyat.

Perkara itu merupakan antara yang terkandung dalam kejayaan keenam di mana kerajaan telah memperuntukkan lebih RM30 juta bagi pelaksanaan program tersebut.

Jelas beliau, pada tahun lepas, Program Kebuniti itu telah memberi manfaat kepada lebih 13,524 individu dan 632 komuniti serta inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini di bawah Program Kebuniti 2.0.

Kerajaan akan melihat semula dasar import beras agar dapat meningkatkan pengeluaran padi dalam negara sehingga 75 peratus.- Gambar hiasan.

Manakala, pencapaian ketujuh jelas beliau,  dalam menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri, MAFI telah mula melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Ia merupakan kerjasama pintar awam dan swasta antara kerajaan dan syarikat-syarikat peneraju untuk membangunkan kawasan penanaman padi seluas 150,000 hektar semusim bagi fasa pertama secara berperingkat di Semenanjung Malaysia.

Katanya, pelaksanaan Smart SBB itu juga akan membantu dalam penyusunan semula pemain industri secara lebih sistematik terutamanya dalam meminima dan menghapuskan penglibatan orang tengah yang dilihat mewujudkan jurang di antara pesawah dan penghasilan serta pemasaran beras.

Tambah beliau, Smart SBB itu akan merubah landskap industri padi dan beras negara serta mencapai matlamat kerajaan dalam menjamin sekuriti bekalan makanan negara sepanjang masa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bercakap pada wawancara khas mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2021.

“Pencapaian yang saya sebutkan ini hanyalah antara pencapaian utama MAFI. Terdapat pelbagai lagi kejayaan yang telah kita laksanakan sepanjang tahun 2020, meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Apatah lagi, kerajaan pada hari ini di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat komited dalam memperkukuhkan sektor agro makanan negara dengan menambahkan lagi usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan,” ujarnya.

Dasar Agro Makanan Negara 2.0

Dalam pada itu, Ronald turut berkongsi program-program yang sedang dalam perancangan kementerian termasuk melancarkan  Dasar Agro Makanan Negara 2.0 di mana ia merupakan satu tanda aras pencapaian di peringkat kementerian bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Jelas beliau, Dasar Agro Makanan 1.0 telahpun berakhir pada tahun lepas dan bakal menyusul Dasar Agro Makanan 2.0 dalam masa terdekat.

“Kita juga dijangka melaksanakan pelan tindakan dasar sekuriti makanan negara di mana ia  juga dalam peringkat perancangan kementerian.

“Dalam sektor perikanan pula, kita akan melancarkan Pelan Strategik Industri Tuna serta Pelan Pembangunan Perikanan Negara 2021,” katanya.

Insurans pertanian

Ronald mendedahkan, yang paling panas sedang dibincang ketika ini adalah untuk melancarkan skim insurans pertanian kepada petani.

Seorang petani, Nordin Gurnadi menyembur racun serangga pada pokok tomato tanamannya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Bajet 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2018.

Ujarnya, MAFI melihat bahawa insurans merupakan satu perkara yang harus ada dalam sektor agro makanan dan sektor pertanian di mana negara-negara lain seperti Vietnam, Filipina, China mempunyai skim tersebut dan ini perlu seiring dengan perlindungan insurans dalam industri pertanian di negara ini.

Tambah beliau, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 akan membelanjakan sebanyak RM18 juta untuk pemberian subsidi bencana alam terhadap pelbagai tanaman termasuk padi.

“Kita melihat ini satu perbelanjaan yang besar dan harus ditanggung oleh kerajaan saban tahun dan MAFI sekarang ini melihat perlu ada pendekatan insurans untuk industri pertanian,” ujarnya.

Katanya lagi, MAFI sedang bekerjasama rapat secara serius dengan agensi di bawahnya dimana usaha itu akan dipelopori oleh Agro Bank.

Katanya, ia merupakan pelan yang dalam perancangan secara serius dan diambil oleh MAFI dengan mengharapkan ia bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette